KUALA LUMPUR - Umum mengetahui WhatsApp adalah aplikasi mesej paling popular di negara ini.
Aplikasi tersebut menjadi medium utama komunikasi kerana pengguna dapat berinteraksi dengan cepat dan mendapat maklumat serta maklum balas dengan segera.
Namun kemudahan tersebut sejak muktahir ini sering digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan berita palsu sehingga mencetuskan kebimbangan ramai.
Terbaharu netizen digemparkan dengan perkongsian satu kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp berkaitan status halal satu produk makanan sejuk beku.
Berdasarkan tangkap layar tersebut, individu yang mengirim mesej WhatsApp itu berkongsi gambar produk makanan calamari ring atau sotong sejuk beku dalam potongan bulat seperti cincin.
Individu terbabit mendakwa produk tersebut sebenarnya diperbuat daripada bahagian dubur babi, bukan menggunakan sotong asli.
“Assalamualaikum sahabat, nak share info, ni adalah dubur babi. Nampak macam sotong, ring dia besar dan putih.
“Kalau sotong ada titik titik, takut terbeli, sekilo kat Perlis RM7.90, kat KL RM11, tapi dalam plastik. So kawan-kawan tak berani beli, tapi pandai depa letak tanda halal,” dakwa individu tersebut.
Malah lebih mengejutkan, logo halal diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut terpapar pada bungkusan produk tersebut sehingga ada yang berasa sangsi terhadap cop halal berkenaan.
Walaupun terdapat segelintir netizen terpedaya dengan berita palsu tersebut, majoriti mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu yang sengaja menimbulkan kekeliruan ramai apatah lagi golongan berusia.
Menerusi tinjauan di Facebook, rata-rata netizen menolak dakwaan tidak berasas itu.
“Bukan usus babi! Sotong besar, sotong laut dalam, calamari. Sotong ni tawar. Suruh orang tu ikut nelayan laut dalam naik tongkang. Dia kenallah mana sotong mana dubur babi,” kata Qaseh Qyra.
“Yang putih tu bukan perut babi tapi sotong yang dah dicuci, frozen. Banyak yang import. Dan dok pertikai cop halal tak sama macam kita punya. Dik cop halal bagi tiap-tiap negara sama ke? Buka mata sikit dik,” kata Abd Rahman.
“Sudah-sudahlah share pasal sotong calamari tu. Kau dah hidup berapa abad tak reti nak beza sotong calamari dengan usus babi. Tebal nau usus babi boleh buat-buat jadi sotong. Sotong ngan babi pun tak reti beza,” kata Poklong Faizal.
“Saya makan calamari goreng sekurang-kurang dua kali sebulan kerana saya suka seafood. Saya juga makan khinzir. Tolong dengar. Berbeza sangatlah rasa, tekstur, bau antara sotong dan babi ni. Bab mana yang rasa sama tu? Tak pasti jangan kongsi ya,” kata Vicenthia Diana Jane Dewing.
Sementara itu, syarikat pemborong produk makanan laut segar dan sejuk beku, D’Semeling Fresh Frozen Seafood turut terpanggil untuk mengulas isu yang tular.
Menurut jurucakap syarikat tersebut, calamari ring diperbuat menggunakan sotong jenis ilex squid yang banyak terdapat di luar negara.
“Jenis sotong ni tak ada di negara kita, banyak di negara luar. Jadi orang tak kenal sangat sotong jenis ni.
“Yang ada di negara kita banyak jenis loligo. Sebab tu rasa tak sama dengan sotong yang biasa kita makan dan cara masakan pun lain untuk setiap jenis sotong,” katanya.
Malah katanya, tanda halal yang dicetak pada label pembungkusan itu juga adalah mengikut negara pengeluar produk tersebut.
“Di Malaysia badan yang mengawal status halal haram ni adalah JAKIM. Di negara lain ada Jabatan Agama Islam mereka sendiri yang menyelia bab ni.
“Ada cop depa sendiri. Takkan nak pakai cop JAKIM pula untuk negara Thailand atau China. Boleh rujuk gambar di bawah untuk logo halal yang diiktiraf JAKIM,” katanya.
Pada masa sama, jurucakap itu menjelaskan aktiviti import dan eksport barangan dari luar ke dalam negara diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
“Tugas MAQIS ni untuk check setiap barang yang masuk ke Malaysia. Ada banyak jabatan yang terlibat antaranya JAKIM. Kalau betul buat daripada babi, mesti dah kantoi.
“Setakat ini banyak video yang dibuat dari sotong je. Tak ada satu pun video dari babi. Setakat cakap kosong tanpa bukti kukuh, setakat boleh dengar sahaja,” katanya.
Penjelasan tersebut mendapat hampir 1,000 perkongsian di Facebook selain dibanjiri pelbagai komen netizen yang mengecam tindakan individu menyebar berita palsu itu. - Getaran, 5 Mac 2022