KUALA LUMPUR - Bakal Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menjangkakan pembubaran Parlimen seawal Ogos atau September depan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, pembubaran berkenaan dijangka dilaksanakan pada bulan tersebut bagi membolehkan Bajet 2023 dibentang oleh kerajaan baharu.
Mantan Ahli Parlimen Pandan itu berpandangan, PKR dan Pakatan Harapan (PH) mampu menjadi blok terbesar di Dewan Rakyat selepas PRU, sekiranya jumlah pengundi tegar pelbagai bangsa yang sebelum ini mengundi pembangkang dapat ditingkatkan sehingga 70 peratus.
“PKR dan PH perlu berjaya memikat kembali lima peratus pengundi atas pagar yang beralih sokongan selepas PRU-14 dalam tahun 2018 dahulu untuk kembali mengundi kita.
“Pada masa sama, kita akan berjaya sekiranya PKR dan PH berjaya mendapat 30 peratus daripada jumlah pengundi kali pertama pelbagai kaum,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Rafizi, beliau akan mula berkempen secara tersusun setiap minggu mulai 1 Julai sebagai persediaan menghadapi PRU-15 yang akan memfokus kepada tiga kumpulan pengundi di negara ini.
“Saya akan meyakinkan pengundi tegar PKR dan PH, pengundi atas pagar di semua kerusi utama yang perlu dipertahankan dan pengundi kali pertama dari kalangan pengundi muda bawah 25 tahun dan mereka yang tidak pernah mengundi selama ini,” katanya.
Jelasnya, beliau akan menggunakan pendekatan berkempen menggunakan trak secara ceramah kepada orang ramai untuk menarik minat rakyat kepada penyelesaian masalah secara membina, dan kesan undi mereka kepada pentadbiran negara.
“Diskusi dengan kumpulan tertentu mengenai isu-isu khusus akan diadakan dalam dewan untuk mengupas pandangan pakar dan orang ramai bagi mencari penyelesaian kepada masalah-masalah negara.
“Kempen akar umbi sebegini akan disiarkan secara langsung melalui laman media sosial untuk diikuti seluruh rakyat,” katanya.
Pada masa sama Rafizi berkata, beliau akan menggunakan pentas Ayuh Malaysia dan menegaskan, kempennya bakal bermula dengan latihan peringkat nasional kepada sukarelawan platform tersebut pada 2 Julai ini, dengan sasaran penglibatan 30,000 individu untuk berkempen bagi PKR dan PH di kerusi-kerusi marginal.
“Ayuh Malaysia juga akan mengadakan satu majlis kutipan dana pada hari sama, Sabtu 2 Julai bermula jam 8 malam bertempat di SJKC Chung Kwo, Kuala Lumpur, demi melancarkan tabung trak untuk membiayai perbelanjaan menyediakan sebuah kenderaan kempen bagi dibawa ke seluruh negara, seperti pernah saya lakukan selama dua tahun sebelum PRU14.
“Majlis kutipan dana itu akan diteruskan di Johor Bahru pada hari Khamis, 7 Julai depan (8 malam) dan Pulau Pinang pada hari Sabtu, 23 Julai (8 malam). Program serupa ke bandar-bandar lain akan diumumkan kemudian,” katanya.
Tambah beliau, siaran kempen Ayuh Malaysia akan bermula setiap dua atau tiga hari di laman media sosial bermula Jumaat ini.
“Kandungan utamanya akan tertumpu kepada kupasan idea-idea baharu untuk menyelesaikan masalah-masalah utama dihadapi rakyat sekarang termasuk lima teras kempen Ayuh Malaysia yang telah diumumkan sebelum ini,” katanya. - Getaran, 20 Jun 2022