KUALA LUMPUR - Kemunculan pelbagai variasi baharu durian, seperti J Sparrow (D216) dan Jerai (D217) akan merancakkan lagi industri ‘raja buah’ di Malaysia.
Pakar Pomologi Penghasilan Komersil Buah-Buahan, Profesor Madya Dr Siti Zaharah Sakimin berkata, kelahiran variasi baharu membolehkan ketersediaan durian mampu diperolehi sepanjang masa dan membuka peluang kepada penggemarnya untuk mencuba pelbagai jenis rasa buah itu.
Menurut beliau, ia juga mampu mewujudkan kepelbagaian tempoh masa berbunga yang dapat menyumbang kepada pendebungaan lebih baik bagi menghasilkan buah durian berkualiti.
“Sebagai contoh, pokok berdebunga awal akan menyumbang kepada debunga tanaman lain atau tanaman sedikit lewat. Dengan adanya ciri-ciri itu akan menyebabkan pokok durian terbabit, boleh berbunga dengan lebih lebat dan menyebabkan petani mendapat hasil lebih tinggi.
“Selain itu, kepelbagaian yang terhasil ini ada sebahagiannya rentan (kebal) terhadap penyakit, malah menyebabkan pokok durian dapat diselamatkan andai kata ladang terjejas dengan ancaman penyakit, khususnya bawaan tanah yang sememangnya sukar untuk dirawat.
“Seperti penyakit kanker durian yang biasanya akan menjejaskan dan membunuh keseluruhan ladang durian sekiranya ia tercemar ataupun diancam,” katanya kepada Getaran.
Siti Zaharah menegaskan kepelbagaian variasi durian dihasilkan, sebahagiannya dilihat lebih sesuai dengan persekitaran yang mampu menjadikan tanaman tersebut berbuah sepanjang tahun.
“Kehadiran kepelbagaian baharu durian juga membuka ruang lebih luas kepada penghasilan buah ini di Malaysia, khususnya kita (negara) mensasarkan untuk sumber pengimportan pengeksportan durian lebih baik kepada negara luar, terutama China, memandangkan ia mampu meningkatkan sumber pendapatan pelbagai pihak,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Zaharah berkata, tidak mudah memadamkan keunikan dan keistimewaan durian ‘otai’ walaupun terdapat pelbagai kemunculan variasi baharu buah berkenaan ketika ini.
Beliau yang juga Pengarah Pusat Pertanian Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM) menegaskan, ini disebabkan tempoh masa terlalu lama amat diperlukan setiap pengusaha mahupun petani untuk menghasilkan durian yang lebih baik dan berkualiti.
“Ia bergantung pada pengurusan ladang, kalau diurus dengan baik seperti sistem pembajaan atau saliran, pokok durian boleh berbuah seawal empat tahun dan pada tahun keenam, ketujuh, waktu itu dah boleh berbuah secara produktif. Namun, jika dilakukan di tahap minimum, ia mungkin keluarkan hasilnya selepas 10 tahun.
“Kalau 10 tahun, J Sparrow atau Jerai ini boleh menandingi sama ada di peringkat pasaran atau sebagainya dan sudah mencapai tahap kematangan tinggi, iaitu masa (buah) dia lebih baik berbanding ketika yang baharu berbunga. Jadi, dia dipengaruhi kualiti dan sebagainya menyebabkan ia sukar ditandingi.
“Pada masa sama, keunikan dan keistimewaan itu boleh dikekalkan dalam kalangan penggemarnya walaupun Musang King dinobatkan sebagai ‘king of durian’. Mungkin ada minat jenis itu dan ada sebahagian lain kata durian Kampung lebih sedap. Tak dinafikan, durian baharu tersenarai nanti boleh diminati,” katanya.
Sementara itu, Siti Zaharah berkata, terdapat keperluan untuk harga durian diturunkan, di mana ketika ini kebolehupayaan pengguna membeli buah berkenaan sukar disebabkan ia mahal.
“Jika diturunkan, tidak berlakulah di mana kita mengatakan durian hanya mampu dibau dan dilihat, selain dapat memastikan rakyat berupaya menikmati raja buah pada kadar berpatutan.
“Walau harga ditawarkan pengusaha ada sedikit penurunan disebabkan kehadiran kepelbagaian baharu atau buah lebih sedap, dengan kuantiti produk penghasilan durian yang banyak dan peningkatannya, seperti produk hiliran yang perlu dibangunkan, mampu membuka peluang kepada pengusaha durian.
“Ia juga takkan menjejaskan pendapatan atau peluang mereka memasarkan buah durian ditanam,” katanya. - Getaran, 24 Jun 2022.