KUALA LUMPUR - Terdapat keperluan buat kerajaan mengharamkan penggunaan motosikal di seluruh negara selepas jam 9 malam bagi membendung kegiatan lumba haram membabitkan kumpulan ‘mat rempit’.
Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Rozmi Ismail optimis ia mampu dilakukan, dengan merujuk kepada pematuhan orang ramai untuk tidak meninggalkan kediaman masing-masing selepas jam 8 malam, ketika kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut beliau, cadangan itu berjaya dilaksanakan di beberapa negara Eropah dan turut mengatasi pelbagai isu sosial yang berlaku.
“Bagi saya cara terbaik kena buat seperti PKP dahulu, jangan bagi keluar selepas jam 9 malam. Tiada individu dibenarkan menunggang motosikal boleh berada di jalan raya kecuali mereka yang bekerja pada waktu itu dan perlu mempunyai pas pekerja sebagai bukti.
“Kerajaan boleh menguatkuasakan peraturan itu dan laksana banyak sekatan jalan raya seperti dilakukan di beberapa negara dan ia terbukti berjaya mengekang masalah sosial. Siapa bersalah, boleh disaman dan motosikalnya boleh disita,” katanya ketika dihubungi Getaran, hari ini.
Rozmi menegaskan, undang-undang itu dilihat perlu segera dilaksanakan kerana kumpulan mat rempit dilihat semakin berleluasa, malah negara merekodkan kira-kira 6,000 kematian di Malaysia setiap tahun melibatkan motosikal.
Bagaimanapun katanya, advokasi kepada rakyat perlu dilakukan terlebih dahulu agar rakyat memahami sepenuhnya kepentingan kerajaan menguatkuasakan undang-undang tersebut.
“Kerajaan perlu isytihar terlebih dahulu kepada orang ramai seperti mana mereka lakukan ketika melaksanakan PKP dan menguatkuasakan larangan merokok di tempat awam. Lepas dah lakukan ia lebih kurang sebulan atau dua bulan, bolehlah dilaksanakan sepenuhnya.
“Ini sahaja caranya, kalau nak sekat beli motosikal tidak boleh. Kenderaan ini sebenarnya adalah mesin pembunuh. Di Malaysia, ramai mati disebabkan motosikal. Bayangkan kalau purata 6,000 setiap tahun, tidakkah kita akan kehilangan orang-orang muda.
“Mereka (mat rempit) dilihat menggunakan motosikal untuk hiburan bukan untuk mencari rezeki. Merempit itu membuang masa dan menyakitkan telinga (pengguna jalan raya),” katanya.
Semalam, mangsa kelima dalam nahas lumba haram di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang menghembuskan nafas terakhir, manakala dua lagi masih dirawat di hospital.
Nahas berkenaan sekali lagi mengundang perdebatan, termasuk ada yang menyifatkan kematian mereka sebagai ‘mati katak’ kerana terbabit dalam perbuatan yang sia-sia, apatah lagi polis juga tidak menolak kemungkinan kemalangan itu diakibatkan oleh lumba haram.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Zainal Madon berkata, fenomena mat rempit sukar dibendung, khususnya dalam kalangan anak muda disebabkan keseronokan dan ganjaran diperoleh.
Menurut beliau, selagi wujudnya rangsangan, aktiviti merempit akan berterusan walau sehebat manapun sekatan atau undang-undang dilaksanakan kerajaan.
“Kalau melibatkan mereka yang berkeluarga, kemungkinan wujud suasana yang muncul seperti pertandingan atau (dicabar) untuk merebut hadiah. Dalam teori tingkah laku, apa-apa perkara yang mendatangkan hadiah ganjaran dan pujian, ia akan kekal berulang.
“Jadi, sikap pembinaan sikap tanggungjawab serta jati diri ataupun kawalan kendiri itu sangat penting kerana kita tidak boleh nak dikawal oleh undang-undang sepenuhnya,” katanya.
Selain kawalan kendiri, Zainal menegaskan, pengawasan ibu bapa dan kerjasama pelbagai pihak amat penting agar kesedaran buruknya aktiviti mat rempit mampu dipupuk sepenuhnya dalam jiwa masyarakat, khususnya anak muda.
“Komuniti kalau nampak, tegurlah kalau mampu. Buat langkah-langkah pencegahan namun kalau tak mampu, berkemungkinan boleh dilakukan secara kumpulan seperti persatuan mahupun Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
“Masyarakat juga polis laksana kerjasama dengan polis seperti komuniti kepolisan di mana ada kaedah untuk pengawalan dan kemundia masyarakat setempat tahu ada pegawai penguatkuasa yang bertugas namun proses pencegahan, pelaporan serta pengawalan dilakukan komuniti sendiri disebabkan jika tegur bersendirian, memang akan kena serang balik,’ katanya. - Getaran, 20 Julai 2022