KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditukar kepada PKP Bersyarat (PKPB) menyaksikan penduduk kembali rancak menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial.
Ia membawa kepada pembukaan semula taman rekreasi dan penganjuran aktiviti riadah, sama ada oleh individu perseorangan atau berkumpulan.
Aktiviti berbasikal yang menjadi “kegilaan” baharu orang ramai tidak terkecuali dan semakin ramai penunggang basikal dilihat memenuhi jalan raya, dengan peralatan serba lengkap.
Walaupun dikategorikan sebagai aktiviti menyihatkan, hakikatnya mereka adalah golongan paling berisiko untuk ditimpa kemalangan, menyamai bahaya yang ditempuh penunggang motosikal.
Dengan sekelip mata, aktiviti yang menyihatkan ini boleh bertukar menjadi lubuk maut, apatah lagi jika penunggang mengabaikan aspek keselamatan dan peraturan jalan raya.
Walaupun statistik kematian membabitkan penunggang basikal semakin berkurangan pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya, ia bukan alasan untuk aspek keselamatan diabaikan.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Khairil Anwar Abu Kassim, sepanjang 63 kes membabitkan kematian penunggang basikal dicatatkan tahun lalu, berbanding 107 pada 2019.
Pemerhatian MIROS katanya, mendapati sejumlah besar penunggang gagal menerapkan elemen keselamatan ketika melakukan aktiviti berkenaan di jalan raya.
“Mereka tidak berhati-hati ketika melintas, memasuki simpang atau membelok ketika berada di jalan raya.
“Saiz basikal yang kecil juga menyebabkan kenderaan lain sukar mengenal pasti kehadiran mereka,” katanya kepada Getaran.
Dr Khairil berkata, beliau sedar berbasikal kini adalah antara hobi paling diminati di Malaysia, namun pengguna perlu mematuhi semua larangan dan peraturan ditetapkan demi keselamatan masing-masing.
“Tidak dapat dinafikan semakin ramai yang berminat untuk menggunakan lebuh raya sebagai laluan untuk berbasikal.
“Bagaimanapun, kami percaya pihak berkuasa ada hak untuk melarang mereka daripada melakukan aktiviti di kawasan berbahaya seperti ini,” kata Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab.
Menurut beliau, penunggang basikal sepatutnya tidak meniru tingkah laku atau aksi pengayuh profesional ketika menggunakan lebuh raya sebagai laluan, kerana ia dibuat dengan kebenaran dan sentiasa dipantau pihak keselamatan.
“Berbasikal adalah salah satu aktiviti fizikal yang baik, tetapi mestilah dilakukan di laluan dan keadaan selamat seperti lorong khas penunggang basikal, taman awam stadium atau jalan yang tidak sibuk,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Fadzil Md Samsudin, 69, pula menasihatkan penunggang untuk merancang laluan masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.
Beliau yang sudah 15 tahun berkecimpung dalam aktiviti berbasikal berkata, perancangan tersusun dan sistematik mampu mengurangkan risiko penunggang.
“Selain dari merancang laluan anda, berbasikal secara berkumpulan juga antara salah satu cara untuk mengelakkan situasi yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Penunggang juga jelas beliau, perlu mengenakan pakaian berwarna cerah dan melengkapkan diri dengan peralatan keselamatan, selain mematuhi semua peraturan ditetapkan. - Getaran, 18 April 2021