KUALA LUMPUR - Gara-gara menegur sikap biadab pelanggan yang ‘bising’ kerana minuman dipesan lewat dihantar, seorang pekerja restoran parah ditetak dua lelaki di sebuah restoran di Taman Segar Perdana, Cheras, Selangor, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang menghalaunya selepas membuat bising kerana minuman dipesan lewat tiba ke meja.
“Suspek dihalau dari restoran itu sebelum kembali semula bersama seorang rakan sambil membawa parang untuk menyerang mangsa.
“Dalam kejadian itu, mangsa lelaki berusia 46 tahun patah tulang jari telunjuk kiri dan luka di lutut kanan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Zahid berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 9.25 pagi hari kejadian, sebelum menahan dua suspek terbabit, iaitu lelaki tempatan berusia 44 dan 47 tahun, semalam.
Katanya, kedua-dua lelaki itu diberkas pada pukul 3 pagi Rabu di Taman Cheras Permata, Kajang dan turut dirampas bersama mereka adalah dua bilah parang serta pakaian digunakan semasa kejadian.
“Suspek kini direman lima hari hingga 22 Januari bagi membantu siasatan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Zaid meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, supaya menghubungi balai polis atau Pegawai Penyiasat Muhamad Ali Hamzah di talian 019-8660324. - Getaran, 19 Januari 2023