web statsweb stats

Berita Terkini

1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 4 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 4 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 5 bulan yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun

IKUTI KAMI


Isu Kalimah Allah: Jangan Politikkan, Serah Kepada Kebijaksanaan Majlis Raja-Raja

Semasa Dikemaskini 1 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 19 May 2023 9:30AM

Dakwaan dan tindakan Muhyiddin masuk campur dalam hal seperti itu, menyebabkan ia menjadi isu politik. - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Dakwaan dibuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin bahawa ada menteri daripada DAP pernah meminta supaya kes kalimah Allah membabitkan Jill Ireland diselesaikan di luar mahkamah, dianggap hanya polemik politik ciptaan pembangkang bagi mewujudkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Perpaduan.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil berkata, dakwaan dan tindakan Muhyiddin masuk campur dalam hal seperti itu, menyebabkan ia menjadi isu politik.

“Pelbagai pihak, khususnya pembangkang seharusnya terbuka dengan tindakan diambil kerajaan ketika ini dan keperluan untuk akur dengan keputusan akan diambil Raja-Raja Melayu terhadap isu penggunaan kalimah Allah, bukan mengeluarkan dakwaan atau menjadikannya isu politik.

“Apabila Muhyiddin sudah campur tangan dalam hal begini, ia sudah menjadi isu politik. Saya melihat perkara ini kita harus berikan tanggungjawab itu kepada kerajaan pimpinan Anwar dan kita boleh lihat apa yang sedang dilakukan, mereka sedang mempersembahkan hujah kepada Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Dr Jamaie Hamil - Gambar fail
Dr Jamaie Hamil - Gambar fail

Selain meneliti dokumen berhubung kes itu yang menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik permohonan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terbabit, beliau berkata, apa harus difahami, ia juga berkemungkinan dilakukan selepas mendapat penjelasan daripada pelbagai pihaknya, khususnya pakar agama.

“Mungkin kita belum pernah lihat khususnya di Semenanjung, kitab Injil berbahasa Malaysia, iaitu bahasa Melayu tetapi di Sabah dan Sarawak, saya rasa perkara itu digunakan sejak lama di mana, kemungkinan mereka menggunakan versi Bahasa Inggeris sepenuhnya atau menggunakan Bahasa Melayu tetapi ia dibeli dari Indonesia.

“Pada pandangan saya, mungkin apa dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan sudah dijelaskan (susulan) dua negeri itu telah lama menggunakannya. Sebab itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, kes itu untuk Sarawak, tidak melibatkan Semenanjung,” katanya.

Selain itu, Jamaie berkata, Kerajaan Perpaduan mempamerkan kematangan politik apabila Jemaah Menteri mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.

“Ini menunjukkan Anwar tidak memutuskan seorang namun ‘memulangkan’ kepada Kabinet dan pihak Majlis Raja-Raja. Perkara itu perlu ditunggu sama Majlis Raja-Raja Melayu memutuskan kerajaan terus merayu atau mengekalkan pembatalan seperti dilakukan kerajaan sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Jamaie yang juga Pensyarah Kanan Program Sains Politik UKM berkata, permasalahan yang wujud adalah berkisar kepada soal penguatkuasaan larangan penggunaan kalimah Allah.

Jelasnya, ketika ini pembangkang sedang menggunakan kesempatan politik dalam memberi tekanan terhadap kerajaan, susulan negara tidak mempunyai akta khusus yang boleh menyekat individu atau pelbagai pihak daripada memainkan isu sentimen agama.

“Isu agama atau kaum adalah sensitif kerana kita perlu lihat dari segi sejarah selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, namun tiada garis sempadan yang boleh menyebabkan seseorang itu diambil tindakan sekiranya, mengeluarkan kenyataan yang berupaya mengganggu ketenteraman awam dan perlu diingat, ini negara majmuk.

“Kita hanya boleh berkata sahaja bahawa isu sensitif tidak boleh disentuh, namun tiada akta khusus boleh dikenakan terhadap individu berkenaan sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan yang barangkali, boleh menggugat keselamatan agama serta negara. Apapun, perlu kembalikan keputusan itu kepada Majlis Raja-Raja,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendedahkan, ada menteri daripada DAP pernah meminta supaya kes kalimah Allah membabitkan Jill Ireland diselesaikan di luar mahkamah.

Muhyiddin dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku ketika beliau memegang portfolio sebagai Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut menzahirkan rasa kesal terhadap keputusan kerajaan menarik balik rayuan penggunaan kalimah Allah dalam kes terbabit, memandangkan ia membabitkan sensitiviti umat Islam dan kepentingan awam.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan supaya kes Jill Ireland diselesaikan di luar mahkamah adalah keputusan Kabinet ketika itu dan bukannya atas permintaan partinya, seperti didakwa Muhyiddin.

Menurut beliau, tuduhan itu membuktikan PN ketika ini tiada modal sehingga terpaksa bermain dengan sentimen perkauman dan agama.

“Saya berada dalam Kabinet ketika itu, beliau (Muhyiddin) tidak pernah bangkitkan isu terbabit, malah keputusan untuk cuba selesai isu berkenaan di luar mahkamah adalah keputusan Jemaah Menteri.

“Tindakan hanya menuduh DAP berhubung perkara itu tidak wajar dan kita tahu tindakan Muhyiddin hanya hendak salahkan DAP. Ketika itu, KDN tidak setuju dan beliau ketika menjadi Menteri Dalam Negeri teruskan tindakan mahkamah, tapi apabila dicadangkan penyelesaian lebih menyeluruh di luar mahkamah, ia ditolak dan keputusannya kerajaan kalah,” katanya.

Sehubungan itu, Anthony yang juga Menteri Pengangkutan menggesa agar Muhyiddin menamakan menteri daripada DAP dan pastinya akan menjadi fitnah jika pembangkang masih membisu.

Media sebelum ini melaporkan, KDN dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'Allah’ dan tiga perkataan Arab lain, iaitu ‘Baitullah’, ‘Solat’ dan ‘Kaabah’ dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021, selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 18 April lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, tindakan KDN tidak meneruskan semakan kehakiman kes membabitkan Jill Ireland lawan kerajaan Malaysia disebabkan berlaku ‘percanggahan’ antara keputusan dibuat Kabinet pada 1986 dengan Arahan Pentadbiran yang kemudiannya, dikeluarkan kementerian itu pada 5 Disember tahun sama.

Beliau berkata, percanggahan itu dikesan sewaktu proses permohonan rayuan kes itu sedang berjalan, selain memperhalusi secara teliti keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021.

Katanya, untuk makluman, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dibuat dengan menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran, iaitu isu berkaitan rampasan bahan penerbitan pada ketika itu, bukannya dari sudut teologi ataupun apa jua yang melibatkan penggunaan kalimah Allah.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kabinet mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

Menerusi kenyataannya, Anwar berkata, ia bagi menyelesaikan isu kalimah Allah secara menyeluruh dan bersepadu.

Katanya, kerajaan juga komited memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia. - Getaran, 18 Mei 2023

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 minggu yang lalu

Jawatankuasa Kerja Akan Ditubuh Untuk Teliti Ancaman Pencemaran Air - PM

2

Semasa 1 minggu yang lalu

PM Arah Pihak Berkuasa, Majlis Agama Segera Siasat, Ambil Tindakan Isu GISB

3

Semasa 1 minggu yang lalu

MA63: Pemberian Khas Khas Interim Sabah, Sarawak Naik Kepada RM600 juta

4

Semasa 1 minggu yang lalu

Anwar Hadir Majlis Makan Malam Bersama Kepimpinan Kerajaan Sabah

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara

Disyorkan untuk anda

Semasa 21 jam yang lalu

Alif Teega Didakwa Salah Guna Wang Lebih RM60,000

Semasa 1 hari yang lalu

PM Beri Sumbangan Peribadi Kepada Mangsa Banjir Di Perlis

Semasa 1 hari yang lalu

Amang Seksual: 3 Pembantu Pelajar Madrasah Mengaku Tidak Bersalah

Luar Negara 21 jam yang lalu

Pasukan MALBATT Selamat, Kenderaan Rosak Diserang Orang Awam Lubnan