KUALA LUMPUR — Kemenangan diberikan ke atas Malaysia oleh Mahkamah Rayuan Belanda dalam kes tuntutan lapan individu mendakwa diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu, jelas membuktikan wujud kepincangan pada Award Akhir diputuskan sebelum ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan itu juga bermakna Award Akhir dikeluarkan penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa di Perancis pada 28 Februari tahun lalu itu terbukti tidak sah.
Menurut beliau, ketetapan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Belanda itu secara jelas dibuat berdasarkan tiga alasan penghakiman.
“Pengeluaran Award Akhir adalah tidak sah berikutan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara oleh Mahkamah Sepanyol sebelum ini sudah dibatalkan oleh Mahkamah Sepanyol.
“Ia sekali gus membatalkan semua asas tindakannya selepas itu, justeru, tiada pengiktirafan dan penguatkuasaan bagi Award Akhir boleh dilaksanakan,” katanya hari ini ini.
Azalina menyatakan demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Rayuan Belanda semalam, yang menolak permohonan kumpulan terbabit untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan Award Akhir timbang tara sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion).
Keputusan tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Vientiane, Laos sebelum beliau berlepas pulang ke tanah air, semalam.
“Menang, Alhamdullillah. Dapat menamatkan satu episod yang tidak baik untuk negara yang mencabar kedaulatan Malaysia.
“Mereka gagal, kita syukur Alhamdulillah," katanya kepada media Malaysia.
Mengulas mengenai penghakiman tersebut, Azalina berkata, mahkamah juga memutuskan bahawa Perjanjian 1878 tidak mempunyai klausa timbang tara yang sah.
“Ini memandangkan klausa yang merujuk kepada Konsul Jeneral Bomeo untuk menyelesaikan apa-apa pertikaian tidak boleh disifatkan sebagai satu klausa timbang tara.
“Mahkamah Rayuan Belanda juga mendapati bahawa Award tersebut tidak dapat diktiraf dan dikuatkuasakan di Belanda berikutan penangguhan pelaksanaan Award Akhir di Paris,” katanya.
Tegas beliau, kumpulan waris Sulu itu tidak mempunyai asas perundangan untuk merampas set Malaysia di Belanda.
Penghakiman bersejarah ini jelasnya, adalah petunjuk bahawa sebarang usaha lanjutan oleh kumpulan terbabit dan pembiaya mereka untuk menguatkuasakan Award Akhir ini di bidang kuasa lain, adalah satu perbuatan yang sia-sia.
“Keputusan Mahkamah Rayuan Belanda ini mengesahkan pendirian Malaysia bahawa timbang tara komersial dilaksanakan ke atas Malaysia oleh waris Sulu yang berpotensi menggugat integriti sistem timbang tara antarabangsa secara keseluruhan, telah dijamin sepenuhnya.
“Pada masa yang sama, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah-langkah yang perlu, termasuk memperoleh pembayaran kos daripada kumpulan terbabit, rentetan keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023 yang mengekalkan penentangan Malaysia terhadap ‘‘Penghakiman Awal’ Stampa,” katanya.
Azalina memberitahu, kerajaan Madani akan memastikan bahawa kedaulatan, keselamatan, serta kepentingan negara sentiasa terjamin dan ditegakkan pada setiap masa.
Beliau pada 23 Jun lalu melahirkan keyakinan Malaysia bakal meraih kemenangan dalam kes terbabit, berdasarkan fakta dan bukti yang jelas menyebelahi negara.
Katanya, keyakinan itu disuarakan oleh barisan peguam lantikan Malaysia.
“Saya kini berada di Madrid, Sepanyol bersama-sama wakil Pejabat Peguam Negara (AGC), Peguam Cara Negara II Datuk Almalena Sharmila dan Duta Besar Malaysia ke Sepanyol, Datuk Akmal Che Mustafa.
“Saya telah mengadakan perbincangan dan menerima taklimat daripada tiga peguam yang mewakili Malaysia (Uria Menandez, Sepanyol; Bredin Prat, Perancis; Fietta LLP, U.K) dalam kes tuntutan ini sementara menunggu keputusan Mahkamah Hague pada 27 Jun 2023,” katanya menerusi hantaran di Facebook. - Getaran, 28 Jun 2023