KUALA LUMPUR - Terperangkap dalam insiden tembakan rambang ketika sedang berada bersama keluarga disifatkan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai penglaman terburuk pernah dilalui setakat ini.
Berkongsi kisah ngeri tersebut, Tunku Ismail berkata, beliau dan delegasi Johor ketika itu sedang berada di lobi hotel berhadapan pusat beli belah Siam Paragon Mall, apabila bunyi tembakan kedengaran.
Imbasnya, tembakan berkenaan menyebabkan orang ramai menjerit dan berlari memasuki hotel.
“Ia sangat bising dan terdapat begitu banyak jeritan. Kami semua sedang duduk di lobi hotel ketika itu.
“Kami membawa kanak-kanak dan keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya, dan fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata yang mereka gunakan dan apa situasinya.,” katanya menerusi ciapan di X.
Beliau berada di Bangkok, Thailand sempena perlawanan Liga Juara-Juara AFC antara JDT dan BG Pathum United.
Orang ramai menjerit dan berlari masuk ke dalam hotel dari pusat membeli-belah apabila penembak mula melepaskan tembakan. Ia sangat bising dan terdapat begitu banyak jeritan. Kami semua sedang duduk di lobi hotel ketika itu.
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) October 3, 2023
Kami membawa kanak-kanak/keluarga ke tempat yang… pic.twitter.com/SG4G558Tvi
Jelas Tunku Ismail, suasana genting itu memaksa beliau dan pasukan keselamatan dibawa berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan.
“Yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran. Kami tidak mempunyai maklumat lain dan perlu bersedia untuk apa-apa perkara yang boleh berlaku.
“Saya masih terbayang waktu saya memberitahu anak-anak saya, "semuanya akan kembali okay. Babah dan Mama ada di sini" dan menyuruh mereka tunduk sementara menunggu kenderaan tiba,” ciapnya dengan penuh emosi.
Situasi tersebut juga katanya, memaksa beliau dan pasukan keselamatan Diraja Johor membina perisai manusia dengan berdiri di hadapan isterinya, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam dan anak-anak untuk melindungi mereka, walau apa pun yang berlaku.
“Apa yang dif ikiran saya adalah untuk membawa keluarga dan pasukan saya keluar dari tempat itu.
“Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka kerana mereka ketakutan dan menangis,” katanya.
Tambah Tunku Ismail, beliau terpaksa menjerit sekuat hati kepada pasukan keselamatan Johor untuk segera membawa kereta ke ruang bawah tanah agar mereka boleh berpindah ke lokasi lain yang lebih selamat dan jauh dari situ.
“Saya memberitahu mereka untuk membawa kami ke Kedutaan Malaysia, dan pemandu memberitahu kami, Kedutaan Singapura lebih dekat dan ketika itu saya menghubungi Konsul Jeneral Singapura di Johor.
“Saya menghubungi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan kita, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk memaklumkan apa yang berlaku. Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel turut ada bersama kami,” katanya.
Walaupun masih dihantui peristiwa itu, Tunku Ismail bersyukur beliau, keluarga dan semua delegasi Johor terselamat, meskipun terlepas peluang untuk menyaksikan perlawanan JDT.
“Ini adalah pengalaman terburuk yang pernah saya lalui. Melindungi nyawa anak-anak saya daripada pembunuh. Dua orang meninggal dunia. Semoga Allah merahmati roh mereka yang tidak berdosa.
“Alhamdulillah, kami selamat. Terima kasih kepada pasukan keselamatan saya dan rakan-rakan kami dari Singapura dan Malaysia. Saya akan selamanya berterima kasih kepada anda semua,” katanya, ikhlas.
Dalam kejadian semalam, dua mangsa disahkan maut manakala lima lagi cedera selepas seorang remaja berusia 14 tahun melepaskan tembakan rambang di pusat beli belah berkenaan.
@getaranmy Sekurang-kurangnya tiga maut dan empat lagi cedera dalam insiden tembakan di Siam Paragon Mall di Bangkok pada Selasa. Menurut laporan media tempatan, pihak berkuasa telah menahan seorang suspek berusia 14 tahun. #getaranmy #berita #beritatiktok #beritaditiktok ♬ original sound - Getaran
Sementara itu, Polis Thailand mengesahkan bahawa dua individu masing-masing warga China dan Myanmar maut dalam kejadian berkenaan, manakala lima lagi cedera.
Ketua Polis Thailand, Torsak Sukvimol dipetik sebagai berkata, dua mangsa yang maut disahkan sebagai wanita China berusia 34 tahun dan warga Myanmar, iaitu pekerja di gedung berkenaan.
Dia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital manakala wanita China itu maut di lokasi kejadian.
Torsak memberitahu, penembak terbabit ditahan di tingkat tiga pusat beli belah itu dan disahkan mengalami sejarah masalah mental. - Getaran, 4 Oktober 2023