ALOR SETAR - Ketika saingan Liga Super hampir membuka tirainya beberapa hari saja lagi, Kedah Darul Aman FC (KDA) buat masa ini masih tercari-cari penaja utama yang logonya bakal menghiasi 'wajah' depan jersi pasukan itu.
Sehubungan itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin berkata, jersi pasukan itu bagi musim 2024/2025 tidak akan dikeluarkan hingga penaja utama kelab disahkan.
Menurut beliau, KDA FC akan terus mengenakan jersi pra musim buat sementara, bagi tempoh sekurang-kurangya tiga perlawanan yang perlu dihadapi bulan ini.
"Pada Februari lalu, KDA FC secara lisan menerima tawaran dari sebuah syarikat untuk menjadi penaja utama kelab.
"Namun langit tidak selalunya cerah apabila berlaku insiden tidak diduga hingga menyebabkan syarikat tersebut bedepan masalah besar.
"Perniagaan syarikat itu merosot menyebabkan kami terpaksa menolak tawaran tajaan mereka pada saat akhir," katanya hari ini.
Disebabkan itu katanya, proses pencarian penaja utama kini diteruskan dan ia masih terbuka kepada mana-mana syarikat berminat.
"Berikutan itu kami telah berbincang dengan penaja kit rasmi KDA FC, AL Sports Sdn. Bhd. (ALX) berkenaan jersi Liga Super 2024/2025. AL Sports Sdn. Bhd. tidak akan mengeluarkan kit jersi bagi musim ini hingga penaja utama disahkan.
"Tindakan itu bersandarkan muafakat bersama antara KDA FC dan AL Sports Sdn. Bhd. dengan mengambil kira kos efektif serta pemasaran syarikat tersebut dalam situasi menang-menang," katanya.
Tambah Shahrul, pihak pengurusan ketika ini menumpukan sepenuh perhatian dalam menarik pelabur dan penaja setelah berjaya menyelesaikan masalah utama (tunggakan gaji pemain) bulan lepas.
"Walaupun kelab ini menerima maklum balas positif berkenaan penajaan, pihak pengurusan menempuh pelbagai cabaran dalam mengikat penaja utama untuk melancarkan perjalanan kelab musim ini.
"Slot penaja utama masih terbuka dengan pihak pengurusan sedang giat menarik bakal penaja baharu, hingga satu tempoh ditetapkan," katanya.
KDA FC bakal mengharungi tiga perlawanan dalam bulan ini bermula dengan pertemuan menentang PDRM FC pada 11 Mei, Selangor FC 18 Mei dan Perak FC pada 24 Mei.
Menerusi jawapan kepada seorang daripada peminat yang bertanya di laman Facebook KDA FC, pentadbir (admin) laman Facebook itu memaklumkan kos untuk slot sebagai penaja utama dianggarkan antara RM8 juta hingga RM10 juta. - Getaran, 9 Mei 2024