Saat pertama kali menonton Sangkar (2010), filem pertama Sharifah Amani selaku pengarah merangkap pelakon beberapa tahun lalu, sudah cukup membuat penulis kagum.
Lakonan berjiwa Amani bersama Beto Kusyairy ini berkisahkan tentang seorang gadis desa yang terpaksa berkahwin pada usia muda demi menampung perbelanjaan kesihatan ibunya.
Apa yang menarik, gadis ini dikahwinkan dengan bapa kepada kekasih hatinya sendiri. Ia drama melankolik yang sangat membekas di fikiran penulis sejak di bangku universiti lagi.
“Sebenarnya, saya tak pernah terfikir pun tentang isu nikah bawah umur semasa mengarahkan Sangkar, sehinggalah barisan juri di satu festival filem di Jepun mengutarakannya,” jujurnya yang lebih senang disapa sebagai Nani.
Alang-alang terlanjur bicara, penulis terus bertanya, “Jadi, apa pendapat Nani tentang perkahwinan bawah umur?”
Seraya Amani membalas, “Mereka adalah anak-anak yang harus menjalani kehidupan selayaknya kanak-kanak. Mereka harus ada pilihan.
“Sedangkan kita yang 30-an ini pun belum pasti tentang perkahwinan. Memahami dengan sedalam-dalamnya apa itu erti pernikahan. Tanggungjawab dan segalanya. Inikan pula mereka.
“Dengan segala macam kursus perkahwinan. Kita belajar tapi saya tidak merasakan yang kita benar-benar ‘menghadamnya’ 100%.
“Makanya, jika kita sebagai dewasa sahaja sudah keliru, apatah lagi budak bawah umur. Itulah ketakutan terbesar saya.
“Mereka tidak dilengkapi dengan pelajaran dan informasi seutuhnya. Apakah mereka menyedari perkahwinan itu ‘terpaksa’ atau ‘kemahuan’ mereka tanpa mereka sendiri sedari,” ucap Amani.
Ceritera #HaramkanNikahBawahUmur
Bagi mereka yang belum maklum, had usia pernikahan di negara ini bagi seorang perempuan Islam ialah pada usia 16 tahun, manakala lelaki Islam pula pada usia 18 tahun.
Isu ini sangat kompleks kerana ia melibatkan institusi agama, kehakiman dan masyarakat.
Namun, sebagai sebuah negara demokrasi, terdapat juga gerakan aktivis yang menggesa supaya had usia bagi perempuan tanpa mengira agamanya diselaraskan kepada 18 tahun.
Masyarakat pun mula berbelah bahagi. Ada yang menyokong, tidak kurang juga yang membangkang. Mereka saling bertelagah dan mengutarakan pendapat masing-masing.
Sosial media utama dibanjiri dengan tanda pagar seperti #HaramkanNikahBawahUmur, #PelajarBukanPengantin dan banyak lagi sebagai tanda protes.
Sengaja penulis memancing lagi, “Tapi Nani... ada sahaja anak gadis bawah umur yang mahu dan rela berkahwin walaupun mereka masih bersekolah. Di kampung saya ramai yang begitu!”
Pelakon Wanita Terbaik FFM19 itu dengan tenang menjawab, “Memanglah ada kes perkahwinan bawah umur yang dimahukan oleh kanak-kanak bawah umur itu sendiri. Ia adalah pilihan.
“Namun, bagi saya, jika kamu di bawah umur, kamu harus mempunyai pendidikan. Kamu harus faham tentang keputusan besar yang akan mempengaruhi kehidupan kamu ini sampai bila-bila.
“Jika alasannya hanya mahu menghindarkan diri dari maksiat, terlalu banyak perbincangan yang perlu dibahaskan sebelum mereka mengambil keputusan untuk berkahwin.
“Saya fikir kita harus melakukan sesi dialog bersama mereka. Kita harus menerapkan pendidikan. Kita harus mencari tahu sebab mengapa mereka mahu berkahwin,” jelasnya panjang lebar.
Pendidikan seks. Bersediakah masyarakat kita?
Ramai orang keliru. Pendidikan seks bukan mengajar tentang ‘seks’, melainkan tentang apakah implikasi dan kesan seks terhadap kamu. Tentang organ seksual, kenali tubuh badan sendiri.
Apa yang akan terjadi kepadamu. Kepada tubuhmu. Dari sudut emosi, rohani dan fizikal. Semua perkara ini diajarkan dalam pendidikan seks.
“Sebilangan masyarakat jika dengar sahaja tentang pendidikan seks, malah hingar bingar. Padahal ia bukanlah semata-mata tentang seks. Ia tentang sains.
“Inilah yang perlu diajarkan kepada anak-anak kita pada hari ini. Agar mereka sedar dan cakna tentang tubuh badan mereka sendiri. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
“Jadi, inilah sebabnya mengapa pendidikan seks itu penting. Dalam kalangan dewasa itu sendiri ada yang tidak memahami apa itu perhubungan, pernikahan, perceraian dan sebagainya.
“Kita sebagai masyarakat Asia amnya tidak mahu bersua muka dan berbincang tentang isu ini. Sama sahaja, sama ada kamu Melayu, Cina atau India. Ia seolah-olah pantang larang orang kita.
“Saya sendiri yang sudah berusia 36 tahun masih mempelajari banyak perkara. Apalagi kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah yang masih belum pun tamat persekolahan mereka.
“I believe in education. Kita seharusnya mampu berbicara tentang perkara-perkara yang dianggap sebagai tabu masyarakat ini. Semakin kira sorok, semakin menjadi-jadi,” jelasnya dengan membara.
Tambah pelakon yang terkenal dengan watak Orked ini, “Alhamdulillah, ibu bapa saya membincangkan persoalan ini sedari saya kecil lagi. Sejak saya melangkah ke alam tadika.
“Kita lepaskan anak-anak kita ke pusat asuhan atau sekolah. Kita tak tahu apa niat orang-orang di luar sana. Kita hanya percaya dan tawakal.
“Saban hari di dada akhbar, ada sahaja kes-kes penderaan dan pencabulan seksual terjadi ke atas kanak-kanak bawah umur, khususnya anak gadis kita.
“Itulah pentingnya pendidikan seks. Untuk mengajar mereka tentang langkah-langkah pencegahan. Anggota apa yang tak boleh disentuh... Siapa yang tak dibenarkan sentuh...
“Kadang-kadang kanak-kanak bawah umur ini tidak tahu-menahu ia satu perbuatan yang salah. Apa yang orang buat pada mereka. Melalui pendidikanlah dapat mengajar mereka.
“When my parents addressed this topic with us, I as a young girl at that time felt empowered. Tiada orang boleh tipu saya. Bila ada perkara meragukan, saya sudah menyedarinya terlebih dahulu.
“Alhamdulillah, saya akan sampaikan kebaikan ini untuk semua anak gadis kita agar mereka sedar sebelum diambil kesempatan secara seksual,” terangnya tak berhenti kalimah.
Bunga kan kembang pada waktunya
Pemilik nama Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya ini begitu bersemangat sepanjang sesi temu ramah berjalan.
Adapun dia mengakui cinta itu bersifat sejagat. Mencakupi segala macam hal, cinta itu sifatnya seharusnya selamat dan melindungi.
Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan.
“Saya tidak nafikan rasa cinta itu wujud dalam kalangan mereka yang ingin bernikah di bawah umur ini.
Namun, jika benar kamu cinta, kamu akan pastikan pasangan kamu benar-benar dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan pendidikan.
“Benarkan dia (bawah umur) untuk membuat keputusannya sendiri. Kamu tidak boleh membuat keputusan untuknya atau memaksa-maksa dia untuk menikahi kamu,” bingkasnya.
Sebelum memotong noktah, Amani menambah, “Anak-anak kita ialah masa hadapan kita. Kita mempunyai ramai anak muda yang pintar dan berani di Malaysia.
“Merekalah semangat dan harapan untuk masa hadapan. Sebenarnya, saya tidak risau sangat dengan generasi akan datang kerana saya sudah lihat ramai yang mempunyai potensi besar.
“Setiap hari di berita, ada sahaja pencapaian dan kejayaan anak muda kita yang membuatkan Malaysia bangga. Saya percaya dengan belia kita. Kita harus mengajar dan menyokong mereka.
“Pesanan untuk adik-adik saya, ya... akan ada masa nanti kamu akan jatuh cinta. Ya... kamu akan berkorban banyak perkara.
“Jika benar kamu cintakan dia, benarkan dia setuju dengan kemahuannya sendiri. You can wait. Love can wait...,” pungkasnya menutup bicara. - Getaran, 7 Mei 2022
DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN
Wajah TARA : Sharifah Amani
Editor Gaya Hidup & Hiburan : Shah Shamshiri
Penyelaras & Teks: Zaidi Che
Suntingan Teks : Ili Farhana
Arahan Seni: Zaidi Che & Azim Mahayudin
Solekan & Dandanan : El Manda Zuhairy
Penata Gaya : Vee Mukhtaram
Pembantu Penata Gaya : Amad Zola
Busana : Khoon Hooi & RizmanRuzaini
Jurugambar : Azim Mahayudin
Juruvideo : Syeda Imran
Pembantu Penerbitan : Aizuddin Faridz Wajdi & Amirul Syakir
Suntingan Video : Muharram Kasim
Rekaletak : Abdul Hanif Zahari
Lokasi: AM Studio