SHAH ALAM - Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor membentangkan kerangka ekonomi Selangor Barisan Nasional (KBN) bagi menambah baik Belanjawan Selangor 2023 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, Jumaat lalu.
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, inisiatif itu berdasarkan pola perubahan dan suasana ekonomi, demi masa depan generasi rakyat di negeri tersebut.
Menurut beliau, kerangka KBN menjadikan pembangunan seimbang sebagai antara falsafah utama agar mampu mendepani pelbagai cabaran seperti wabak penyakit, kesihatan serta ekonomi global.
“Kerangka ini juga akan memastikan tiada golongan yang tertinggal dalam menerima bantuan.
“Pembangunan seimbang perlu kerana BN percaya ia asas kepada pembentukan ekonomi mampan dan kemakmuran bersama, bagi merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar, sekali gus mencipta peluang pekerjaan serta keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas persidangan DUN Selangor di sini, hari ini.
Rizam berkata, BN melihat ada kepentingan untuk kerajaan membangunkan dan menghidupkan infrastruktur yang inklusif, bukan sahaja untuk ketersambungan serta sosioekonomi antara luar bandar dan bandar.
“Ia juga perlu mengambil kira keperluan golongan kelainan upaya (OKU) dan warga emas,” katanya.
Kerajaan Selangor memperuntuk RM2.45 billion bagi Belanjawan 2023 yang merangkumi enam dasar utama iaitu peluang pekerjaan, perumahan, alam sekitar, belia, wanita dan pendidikan.
Amirudin berkata, daripada jumlah itu, RM1.25 bilion atau 51 peratus akan diperuntuk bagi perbelanjaan mengurus manakala RM1.2 bilion iaitu 49 peratus untuk tujuan pembangunan.
Menurut beliau, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2 bilion, terutama menerusi premium tanah iaitu penyumbang utama kepada Selangor untuk tahun 2024.
Ia melibatkan jumlah RM753.72 juta atau bersamaan 38 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan. - Getaran, 29 November 2022