KUALA LUMPUR - Gesaan Barisan Nasional (BN) agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ketika negara menghadapi musim banjir ialah polemik politik yang cuba diwujudkan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, perkara itu dilihat sebagai cubaan untuk mengalih perhatian masyarakat daripada terus tertumpu kepada kes mahkamah yang sedang dihadapi beberapa pemimpin UMNO.
Menurut beliau, majoriti golongan B40, khususnya anak muda mahu PRU dilaksanakan tahun depan, ketika negara kembali kukuh dalam pelbagai sektor.
“Kempen PRU hujung tahun ini akan mengalih perhatian masyarakatA terhadap perbicaraan kes mahkamah berprofil tinggi yang melibatkan beberapa pemimpin politik negara.
“Orang muda yang berniaga sendiri perlu sekurang-kurangnya hingga awal tahun depan untuk pulih dari kemelut ekonomi yang memberi impak terhadap kedudukan kewangan mereka.
“Hujung tahun juga sinonim dengan waktu untuk berjimat kerana banyak perbelanjaan harus dikeluarkan bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir dan persediaan sesi baharu persekolahan,” katanya kepada Getaran, hari ini.
Dr Muhammad Faiz berkata, terdapat keperluan untuk Perdana Menteri tidak mengadakan PRU15 penghujung tahun ini, tambahan pula laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMALAYSIA) meramalkan hujan lebat berterusan mulai pertengahan November, yang boleh membawa kepada banjir besar.
“Pada masa sama, hujung tahun juga adalah waktu cuti panjang bagi sebahagian penduduk, kerana ada antara mereka berkunjung ke luar negara.
“Bagi rakyat beragama Islam pula, ia juga waktu yang popular untuk ibadah umrah di tanah suci kerana suhu yang sejuk,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa di sini baru-baru ini berkata, jentera parti itu sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan pada November.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyifatkan, ahli parti sudah memberikan isyarat jelas agar PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda DAP, Young Syefura Othman berkata, kenyataan Ahmad Zahid membuktikan betapa BN kemaruk kuasa sehingga tidak kisah atau peduli berkenaan kesusahan rakyat sewaktu bencana.
“Mana perikemanusiaan Zahid ketika beliau mengeluarkan kata-kata ini? Bencana banjir bukan benda yang boleh dipandang ringan. Rakyat kehilangan harta benda dan orang tersayang akibat insiden seumpama itu.
“Amat kejam apabila seorang presiden parti (UMNO) dan juga Ahli Parlimen (Bagan Datuk) yang sudah berpenggal-penggal menjadi wakil rakyat mengeluarkan kenyataan begini,” katanya.
Jelasnya, masih ada lagi infrastruktur yang belum dibaik pulih akibat banjir Disember tahun lalu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari turut menggesa Zahid agar tidak terlalu tamakkan kuasa sehingga sanggup memperjudikan nyawa dan keselamatan rakyat.
“Sehingga hari ini masih ada penduduk yang tidak mampu hidup seperti dahulu, kesan daripada banjir tahun lalu. Zahid patut malu dengan diri sendiri.
“Beliau sepatutnya mendesak menteri BN untuk membuat persiapan rapi agar kesan ditanggung rakyat tidak seburuk tahun lalu ketika banjir,” katanya. – Getaran, 21 September 2022