JENDERAM HILIR: Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Harun yang pertama kali dipertaruhkan sebagai calon di kerusi Parlimen Sepang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atas tiket Perikatan Nasional (PN), mungkin sukar menang memandangkan penduduk di kawasan itu ragu-ragu terhadap kemampuannya.
Ditambah beberapa kisah kontroversi membelenggu pemimpin itu selama memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, selain parti dinaunginya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), keluar daripada Pakatan Harapan (PH) menerusi Langkah Sheraton yang menyaksikan parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu ‘tumbang’, membuatkan pengundi di situ seperti muak dengan politik dibawa.
Pesara kerajaan, Alias Jaafar, 67 berkata, politik ketika ini memeningkan apabila kebanyakan pemimpin bertindak tidak ‘setia’ dengan melompat parti dan terbabit dengan pelbagai masalah.
“Sekarang Rina pula, saya pun tak tahu dia boleh menang di sini (Sepang) atau tidak. Rina itu kalau memang mahu tolong penduduk bagus lah, tapi sebab ini kali pertama dia nak bertanding kat sini, kita tengoklah macam mana.”
“Lagipun setakat ini tidak ada apa masalah dengan orang Sepang. Wakil rakyat dekat sini bantu saja, dia bagi barang dapur, seperti beras, minyak terutamanya masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Cuma saya harap siapa pun calon bakal menang kerusi di Sepang, beliau akan melaksanakan tugas dengan baik demi kebajikan pengundi,” katanya yang menetap di Jenderam Hilir selama 60 tahun ketika ditemui Getaran di sini, baru-baru ini.
Bagaimanapun, peniaga, Athirah Ahmad, 29, berpendapat pengundi di Sepang tidak seharusnya takut untuk memberi peluang kepada muka baharu di situ.
Jelasnya, secara peribadi beliau melihat Rina yang juga Ketua Srikandi BERSATU sebagai seorang pemimpin wanita yang mempunyai kepemimpinan dan nampak cara pendekatannya dalam melaksanakan tugas, dekat di hati rakyat.
“Jika tanya, saya mahu Rina Harun menang di sini kerana beliau ada aura, rajin dan nampak mesra dengan rakyat. Jadi apa-apa masalah di kampung ini saya yakin beliau dapat selesaikan.
“Boleh bagi peluang kepada Pengerusi PN, Abah (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebab kalau nak cakap kejayaan dia semasa menjadi Perdana Menteri, waktu COVID-19, beliau bagi rakyat bantuan kewangan. Tak boleh lah nak cerita kejayaan dari segi pembangunan dan sebagainya, sebab masa dia jadi PM, timbul masalah COVID-19,” katanya.
Ditanya apakah masalah di kawasan itu yang sepatutnya diselesaikan pemimpin, Athirah menegaskan, ia membabitkan isu keadaan jalan utama di Jenderam Hilir yang tidak mempunyai lampu isyarat di sepanjang laluan tersebut, sehingga menyebabkan kemalangan kerap berlaku di situ, sehingga ada membawa maut.
“Lampu di jalan ini bila malam tak menyala, laporan sudah dibuat banyak kali tapi tidak juga dibaiki, jadi saya harap sangat perkara ini diambil berat wakil rakyat,” kesalnya.
Bagi pesara, Abdul Latif Abdul Rahman, 63, yang menetap di Sungai Buah, Dengkil, selama 20 tahun, meskipun bantuan diberikan wakil rakyat untuk meringankan beban rakyat, masalah banjir pula menjadi masalah berulang dan masih gagal ditangani.
“Masalah banjir di sini (Sepang) memang dari dulu dan saya tidak tahu mengapa ia tidak diselesaikan lagi. Sekurang-kurangnya, buatlah longkang atau parit supaya paras air banjir itu tidak meningkat,” luahnya.
Kerusi Parlimen Sepang disandang Mohamed Hanipa Maidin selama dua penggal, masing-masing atas tiket PAS, iaitu pada 2013 dan Parti Amanah Negara (2018).
Pada PRU-15, Parlimen itu menyaksikan pertandingan lapan penjuru antara Rina, selain Anuar Basiran (Barisan Nasional), Aiman Athirah Al-Jundi (Pakatan Harapan), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim (Parti Pejuang Tanah Air), Nageswaran Ravi (Parti Rakyat Malaysia), Daud Leong (Parti Utama Rakyat), selain Muneswaran Muhthiah dan Mohd Syahrul Mat Sari dari Bebas. - Getaran 18 November 2022