KUALA LUMPUR - Lapan hala tuju yang digariskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi amat bertepatan dengan situasi semasa parti, yang diakui melakukan kesilapan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan, ucapan dasar yang dibuat oleh Ahmad Zahid juga adalah menyeluruh dan mencakupi setiap aspek.
“Satu ucapan dasar yang saya percaya perlu dijadikan sebagai panduan untuk pemimpin, ahli-ahli parti dan juga wakil-wakil parti yang ada dalam kerajaan,” katanya kepada media ketika ditemui selepas ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pagi tadi, Ahmad Zahid menggariskan lima hala tuju baharu dan tiga hala tuju tambahan bagi membolehkan parti bergerak ke hadapan, sesuai dengan perubahan sikap, pemikiran serta landskap politik negara.
Hala tuju pertama adalah menjalin kerjasama strategik dengan mewujudkan persefahaman antara rakan-rakan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mendepani realiti politik baharu, diikuti hala tuju kedua iaitu menyegarkan parti dengan pemugaran idea serta pengkaderan yang efektif, sesuai dengan perubahan minda serta keutamaan rakyat.
Hala tuju ketiga pula merujuk kepada keperluan untuk melabur dalam teknologi dan komunikasi masa hadapan; hala tuju keempat melibatkan merombak gerak kerja jentera parti secara konvensional kepada pendekatan berasaskan data dan analisis di semua peringkat struktur parti manakala hala tuju kelima, menggilap dan mengetengahkan muka baharu sebagai wajah hadapan parti, selain usaha meningkatkan kualiti ahli serta menggilap potensi mereka untuk mewarisi kepimpinan parti dan negara perlu sentiasa berjalan.
Mengulas amaran Ahmad Zahid terhadap pemimpin parti, Mohamed Khaled berkata, sebarang tindakan disiplin terhadap mana-mana pemimpin UMNO termasuk daripada BN tidak boleh dilakukan secara semberono.
Menteri Pengajian Tinggi itu berkata, semua tindakan dibuat parti perlu melalui proses yang akan dilaksanakan secara terperinci.
“Saya percaya semua itu akan melalui proses bukannya dilakukan dengan cara semberono supaya diberi keadilan kepada semua,” katanya.
Ahmad Zahid sebelum ini dalam ucapannya memberi bayangan, UMNO akan mengambil tindakan ke atas pihak yang didakwa cuba mengkhianati parti itu.
Tambah Mohamed Khaled, amaran yang diberikan oleh Ahmad Zahid semasa ucapan itu juga adalah wajar.
“Dalam keadaan kita menerima hakikat UMNO bukan lagi kuat dan kukuh seperti dahulu, yang paling utama untuk parti ialah mesti ada kesepakatan dan kerjasama dalamnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, hala tuju UMNO seperti dinyatakan Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden hari ini dilihat sangat jelas serta praktikal untuk memastikan roh perjuangan parti keramat itu dikembalikan.
Jelasnya, ia ditambah dengan garapan supaya hala tuju dipacu dengan penggunaan idea baharu bagi menarik kembali sokongan orang muda terhadap parti, selain mengimbangi suasana politik semasa.
“Semua isi penting yang dinyatakan Presiden saya ambil maklum dan sebagai Ketua Penerangan UMNO, saya kena hadamkan apa yang dinyatakan itu untuk terjemahkan, seterusnya dilaksanakan bermula di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sehingga kepada ahli akar umbi,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, parti tidak perlu bersifat apologetik sekiranya perwakilan mahu pertandingan diadakan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
Bagaimanapun katanya, kerisauan adalah ia akan menyebabkan ahli-ahli UMNO kehilangan fokus jika Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat.
“Kita tak mahu ahli tidak dapat melakukan keseimbangan ketika nak berlawan musuh dalam PRN, sama juga untuk jawatan.
“Saya harap Perhimpunan Agung UMNO ini akan membuat keputusan esok, sebenarnya apa pendirian ahli, perwakilan tentang pemilihan parti ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Puad menyifatkan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin telah menyempitkan pandangannya berhubung respon ready to fight oleh Ahmad Zahid, semalam.
Beliau berkata, Khairy telah menyalah tafsirkan perkara tersebut dengan menganggap Ahmad Zahid sedia bertembung dengan beliau untuk jawatan Presiden pada pemilihan parti.
“Pada saya ready to fight (sedia untuk berlawan) itu bermakna untuk melawan musuh dalam PRN akan datang. Yang kita ni hanya bising bersuara semasa PRU dan semasa pemilihan parti tetapi, setelah tu kita senyap tidak membantu parti.
“Dia (Khairy) juga telah berpeluang bertanding dalam jawatan Presiden pada pemilihan yang lepas, tapi lepas tu dia hilang senyap. Dia bersuara balik bila dia menjadi calon Sungai Buloh.
“Jadi ready to fight ini dalam pelbagai keadaan. Saya sukar mendengar suara beliau kritik pihak lawan, dia lebih kuat didengari mengkritik parti sendiri bukan dalam pilihan raya pun dia mengkritik parti,” katanya. - Getaran, 13 Januari 2023