AMPANG - Belum pun sebulan bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad ligat menjalankan tugas diamanahkan.
Bergerak aktif dengan ‘kelajuan’ luar biasa, ADUN Lembah Jaya itu yang lebih dikenali sebagai Altimet ligat menjelajah segenap pelusuk DUN berkenaan.
Bukan hanya lincah di lapangan, Altimet juga menggunakan sepenuhnya platform media sosial untuk berinteraksi dengan orang ramai, khususnya pengundi di Lembah Jaya.
Beberapa hari lalu misalnya, beliau mengundang pendakwah bebas, Ustaz Syamsul Debat untuk sesi kuliah maghrib di Taman Sri Ampang.
Katanya, program agama seumpama itu akan dipastikan terus aktif di setiap masjid dan surau, khususnya di kawasan Lembah Jaya.
Menerusi perkongsian di Facebook, Altimet semalam dilihat melawat tapak kerja penyelenggaraan cerun tdi Pangsapuri Desa Lembah Permai.
Beliau dalam perkongsian ringkas itu turut memuji tindakan pantas diambil oleh Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk membersihkan sisa-sisa kerja yang ditinggalkan.
“Terima kasih diucapkan. Semoga Lembah Jaya terus makmur dan harmoni ,” katanya.
Beberapa jam sebelum itu, Altimet dipetik sebagai berkata, pihak kontraktor perlu mengambil tanggungjawab untuk membersihkan kawasan berkenaan secepat mungkin.
Tindakan tersebut katanya, bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan penduduk sekitar.
“Insya Allah saya akan berhubung dengan pihak MPAJ untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu di aplikasi X, Altimet sekali lagi meraih pujian apabila mengambil tindakan proaktif untuk bersedia sekiranya Lembah Jaya dilanda banjir kilat, susulan hujan lebat di kawasan terbabit.
Hujan lebat. Sy dah minta ketua2 kampung & ahli ahli majlis di Lembah Jaya utk kemaskini jika air naik di Sg Puteh atau ada banjir kilat di dalam kawasan masing2. InsyaAllah tiada. ??
— Altimet.eth (@altimet) August 18, 2023
“Hujan lebat. Saya dah minta ketua-ketua kampung dan ahli-ahli majlis di Lembah Jaya utk kemaskini jika air naik di Sg Puteh atau ada banjir kilat di dalam kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau juga pantas memberi respon apabila diminta menubuhkan satu kumpulan WhatsApp melibatkan agensi berkaitan di Lembah Jaya.
Tidak hanya berkisar isu dan masalah dialami komuniti setempat, penyanyi rap dan komposer terbabit juga kelihatannya ‘cakna’ dengan lokasi makan menarik di sekitar Lembah Jaya.
Dataran Kolejas.
— Altimet.eth (@altimet) August 17, 2023
Nasi Campur Klasik.
Mee kari Mus Watan. https://t.co/iFVLXJLN30
Respon pantasnya menyenaraikan tiga port makan terbaik di kawasan itu nyata berhasil menarik minat orang ramai untuk berinteraksi. - Getaran, 19 Ogos 2023