KUALA LUMPUR - Peruntukan besar yang diberikan kepada Bajet 2022 dibuat demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa mendahulukan aspek kebajikan, keselamatan nyawa, kesejahteraan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara dalam apa sahaja tindakan yang diambil.
"Kita ambil maklum semua keadaan namun ketika ini kebajikan rakyat sangat penting, kerana ramai terkesan akibat pandemik COVID-19 sehingga ada yang kehabisan simpanan dan sebagainya. Ini menjadi keutamaan kita.
“Memang benar kita berbelanja besar kerana kita nak jaga rakyat namun Kementerian Kewangan (MOF) akan memastikan akaun negara akan dijaga dengan sebaik," katanya menerusi sidang media selepas Majlis Pelancaran Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Bukit Jalil, hari ini.
Ismail Sabri menyatakan demikian sebagai mengulas dakwaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Bajet 2022 terlalu tinggi dan boleh menyumbang kepada peningkatan hutang negara.
Tegas beliau, belanjawan adalah agenda penting kerajaan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan yang sudah dirancang.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri ketika mengulas berkaitan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RMKAT) berkata, kerajaan merancang membina 28,033 unit kediaman menerusi Blueprint Perumahan 2.0 Kementerian Pertahanan, bermula tahun ini sehingga 2030.
Menerusi pelan terbabit katanya, kerajaan juga akan menyelenggara RKMAT sedia ada di seluruh negara.
"Mengambil kira jumlah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara ketika ini, pembinaan rumah tentera di seluruh negara masih merupakan satu keperluan.
"Hal ini amat dekat dengan saya, pada tahun 2020, sewaktu saya berkhidmat sebagai Menteri Kanan Pertahanan, hal ini menjadi keutamaan dan saya menyedari serta memahami keperluan perumahan bagi anggota ATM,” katanya.
Atas faktor ini jelas Ismail Sabri, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dirangka bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan beberapa pihak berkepentingan, dengan aspek perumahan ATM menjadi antara agenda utama.
Beliau berkata, RMKAT di Bukit Jalil merupakan inisiatif kali pertama daripada kerajaan, menggunakan kaedah pembelian secara terus dengan pihak pemaju yang merupakan langkah penting ke arah kesejahteraan Keluarga Malaysia.
"Rumah di Bukit Jalil ini tidak dijual. Ia lebih kepada kuarters dan selepas mereka bersara dari perkhidmatan, perlu keluar.
"Konsep rumah dilengkapi perabot dan fasaliti riadah ini adalah kali pertama dilakukan dan kita akan cuba laksanakan konsep ini di semua RMKAT seluruh negara," katanya
Turut hadir Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain dan Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Jeneral Bersara Tan Sri Raja Mohamed Affendi Raja Mohamed Noor.
Semalam, Dr Mahathir ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat mengesa Bajet 2022 disemak semula supaya dapat mengurangkan beban hutang negara pada masa akan datang.
Menurut beliau, kerajaan perlu berhati-hati supaya perbelanjaan kerajaan dapat dikurangkan dan beban hutang negara tidak digalas generasi seterusnya.
Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, semakan semula itu membantu kerajaan mengenal pasti perkara yang sepatutnya boleh dikurangkan, sekali gus mengurangkan beban hutang negara pada masa depan. – Getaran, 3 November 2021