KUALA LUMPUR - Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dengan membina psikologi bangsa Melayu serta rakyat negara ini secara keseluruhan perlu dilaksanakan bagi memahami bahawa Malaysia mempunyai jati diri.
Tokoh bahasa dan persuratan negara, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, Malaysia perlu mempunyai kekuatan psikologi untuk meyakini bahasa kebangsaan mempunyai kedaulatannya tersendiri.
Negara jiran seperti Thailand dan Indonesia tegasnya, tidak kira kaum apa masih teguh menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing, baik dalam urusan rasmi mahupun kegiatan seharian.
“Sebab itu kami sangat berterima kasih kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggunakan bahasa Malaysia dalam ucapannya pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26).
“Beliau (Tuan Ibrahim) bercakap secara peribadi kepada saya, bahawa dia perhatikan negara lain bercakap dalam bahasa masing-masing, kenapa tidak kita. Jadi, ini satu permulaan yang baik.
“Kalau ada kekuatan psikologi begitu, InsyaAllah rakyat biasa bahkan swasta akan patuh. Barulah dikatakan kepimpinan melalui tauladan,” katanya, hari ini.
Sehubungan itu, Awang menegaskan kekuatan jati diri yang ingin disemat pada rakyat juga harus bertitik tolak daripada usaha para pemimpin bagi memperkasakan bahasa kebangsaan.
Pada masa yang sama, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut mempersoalkan jika Malaysia mengamalkan Dasar Pandang ke Timur, mengapa tidak mencontohi penggunaan bahasa kebangsaan semua negara berkaitan dengan meluas.
“Mengapa Dasar Pandang ke Timur yang menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh, tak dipandang daripada soal bahasa.
“Yang dipandang soal lain, industri dan ekonominya sahaja.
“Inilah masalah menyebabkan keyakinan diri kita agak rendah,” ujarnya.
Namun, Awang mengakui kesal apabila terdapat banyak percanggahan dengan fungsi DBP itu sendiri apabila melibatkan pengukuhan bahasa kebangsaan.
“Kita ada akta sendiri, tetapi banyak percanggahan. Kalau kita lihat objektif pertama DBP adalah untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi.
“Tiba-tiba Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan waktu zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.
“DBP nak perkenal bahasa Malaysia dalam buku teks tak dibenarkan,” katanya.
Disebabkan percanggahan sebegini, beliau menjelaskan amat sukar untuk bahasa kebangsaan mencapai kemajuan dari segi pemantapan dan penggunaannya oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Kalau tidak DBP dikatakan harimau kertas, harimau tak bergigi. Kita ada gigi tetapi ditahan. Akta ada. Kalau di pusat perancangan bahasa di Perancis, ada undang-undang ambil tindakan pada orang yang tidak hormat bahasa kebangsaan.
“Sebuah syarikat di Perancis yang tidak menggunakan bahasa Perancis dalam laman web, dikenakan tindakan beribu euro.
“Jadi, DBP perlu diberi sedikit wibawa untuk berkuasa.
“Saya dapati kuasanya terkekang. Ini mesti diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian menjelaskan, bahasa Malaysia merupakan kunci kepada kekuatan serta keutuhan perpaduan di negara ini, yang mempunyai pelbagai kaum dan budaya.
Beliau bagaimanapun mempersoalkan, apakah pelaksanaannya bersifat menyeluruh seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan.
“Adakah institusi Parlimen, perundangan dan kehakiman menggunakannya secara menyeluruh sebagai suluhan ke atas peranan mereka sebagai peneraju dalam pelaksanaan dan penilaian bahasa?
“Penyampaian dalam pentadbiran dan pendidikan serta bahasa ilmu wajib melihat di manakah maruah bangsa Malaysia jika bahasa kebangsaan sekadar memenuhi citra-rasa sesetengah pihak, manakala sebahagiannya meminggirkan status dalam Perlembagaan," tegasnya.
Sehubungan itu, Sivamurugan berkata, ‘Keluarga Malaysia’ yang menjadi agenda Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri wajar memperkukuhkan kedudukan bahasa rasmi dengan menjadikannya sebagai telapak penyatupaduan, kesepaduan dan perpaduan keluarga Malaysia.
“Bahasa Malaysia masih belum mantap penggunaannya dan kedudukannya wajib diangkat bersama, bukan sekadar tanggungjawab nasionalis bahasa yang menjadi tanggungjawab semua pihak.
“Jika tidak serius, ia akan sekadar kekal dalam Perlembagaan tanpa keikhlasan. Jujurkah kita untuk mempertahankan bahasa kebangsaan sebagai bahasa berdaulat?
“Keberanian Tuan Ibrahim mesti turut dijejaki oleh pemimpin lain yang menamakan diri mereka Keluarga Malaysia,” katanya. - Getaran, 16 Disember 2021.