KUALA LUMPUR - Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) harus dilaksanakan pada tahun ini kerana Malaysia memerlukan kerajaan stabil yang mampu bergerak sehaluan dalam mengatur langkah dan strategi berkesan untuk melindungi negara daripada impak buruk.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pentadbiran kerajaan ketika ini menjadi bersimpang-siur selepas penglibatan parti komponen dari Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang masing-masing mempunyai agenda dan fahaman sendiri.
Menurut beliau, walaupun negara di bawah pentadbiran kerajaan PN disertai sebilangan wakil rakyat BN, namun ia diketuai pemimpin politik bermuslihat untuk menamatkan lawan politik bagi mengukuhkan kedudukan.
“Malaysia dengan kewujudan kerajaan campuran ketika ini menyaksikan Perdana Menterinya tidak dihormati, malah diserang dan cuba dilemahkan anggota pentadbiran daripada parti lain.
“Sejarah Malaysia sesudah PRU-14 berakhir pada 9 Mei 2018 membuktikan tiada gabungan politik selain BN memiliki kemampuan tersebut. Malaysia telah melalui pengalaman amat memeritkan sepanjang berkerajaan gagal selama 22 bulan dibawah PH dan 17 bulan dibawah PN.
“Negara di bawah pentadbiran PH memiliki sebuah kerajaan cacamarba, tidak tersusun dan lebih mengutamakan agenda politik berbanding kepentingan rakyat dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, terdapat keperluan PRU dilaksanakan ketika ‘musim banjir’ berikutan negara sedang kesuntukan masa untuk berdepan kemelesetan ekonomi global yang diramalkan akan berlaku pada tahun depan.
Menurut Pengerusi BN itu, ramalan kemelesetan ekonomi dunia tersebut bukan hanya rekaan yang dicipta UMNO, sebaliknya berdasarkan pelaporan organisasi kewangan dan ekonomi antarabangsa.
“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), tiga bulan lalu mengunjurkan prospek ekonomi global ‘menjadi gelap dengan ketara’ sejak April tahun ini dan meramalkan dunia berdepan kemelesetan ekonomi tidak lama lagi.
“Agensi itu malah dikatakan akan menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi global tahun ini buat kali ketiga dan pakar ekonomi IMF dilaporkan mahu memuktamadkan angka baharu,” katanya.
Jelasnya, sebuah institut pelaburan terkemuka berpangkalan di Amerika Syarikat pula meramalkan kemelesetan ekonomi dunia mungkin berlaku lebih awal iaitu pada penghujung tahun ini.
“Ini bermaksud hanya berbaki tempoh kurang tiga bulan sebelum kemelesetan (recession) yang akan menjejaskan kebanyakan negara bermula atau lebih teruk ia mungkin terjadi seawal Disember tahun ini,” katanya.
Justeru, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, BN yakin rakyat akan memberi sokongan kuat kepada gabungannya untuk kembali membentuk kerajaan dominan.
“Ini kerana BN pernah membuktikan kemampuannya mengurus ekonomi negara. Semoga harapan rakyat agar mandat dikembalikan kepada mereka untuk memulihkan negara menjadi kenyataan dan kepada Allah SWT kita berserah selepas segala daya upaya,” katanya. - Getaran, 6 Oktober 2022