YAN - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor terus membuat serangan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun beliau pernah mengeluarkan kenyataan untuk membuka lembaran baharu dengan kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Terbaru, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu mendakwa, projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang seperti diumumkan Perdana Menteri sewaktu membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025, adalah projek 'berterima kasih' kepada DAP.
"Itu 'special project' untuk berterima kasih kepada DAP kerana menyokong beliau menjadi Perdana Menteri. Tulis, tulis... Tanya buat apa kalau tak berani tulis?
"Saya yang kata... semua pengumuman-pengumuman, projek khas kepada Pulau Pinang adalah ucapan terima kasih kepada DAP kerana menyokong beliau menjadi Perdana Menteri.
"Hakikat politik di Malaysia macam itu, tak macam negara lain. Kita ini tak tahulah... Hulu sangatlah kot politik kita ini," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian Tuaian Projek Padi Benih Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Tapak Smart Sawah Berskala Besar (SBB) Asnaf LZNK dekat Batu 17, di sini, hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membahaskan laporan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-12 hari ini mendakwa, pelaksanaan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) menzahirkan lagi diskriminasi terhadap negeri pimpinan pembangkang.
Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, Kedah umpamanya tidak langsung disebut oleh Perdana Menteri ketika mengumumkan pelaksanaan pembesaran lapangan terbang di Pulau Pinang dan Selangor.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau menyokong pengumuman oleh Perdana Menteri baru-baru ini untuk membangunkan dasar bagi melarang eksport bahan mentah nadir bumi (REE).
Dengan keputusan sebegitu katanya, pihak lain tiada pilihan selain memindahkan teknologi mereka ke negara ini walaupun sebelum ini, ada negara yang enggan berbuat demikian.
"Sebelum ini ada negara yang tak mahu teknologi REE keluar dari negara mereka. Maka sekarang, kita tahan bekalan itu daripada dieksport ke negara mereka.
"Kalau mereka mahu bekalan, bawa teknologi ke sini dan itu (keputusan larang eksport REE) yang betul, saya setuju dengan langkah tersebut. Jangan jadi macam bijih timah yang hanya jadi tempat melombong tetapi orang lain yang kaya sedangkan kita hanya tinggal kolam tempat orang memancing," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri sudah menawarkan beberapa tapak kawasan industri untuk membangunkan kilang REE di negeri ini antaranya di Gurun, Padang Meha dan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).
"Ada antara tanah itu milik anak syarikat kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan ada juga milik swasta. Boleh bangunkan kilang di kawasan itu.
"Sesiapa pun boleh mohon untuk buat kilang di sini. Kalau orang tempatan yang pandai pun, boleh mohon juga," katanya.
Diminta mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang menyatakan beliau akan dipanggil bagi memberi keterangan berhubung isu REE, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak berdebar menanti panggilan SPRM itu.
"Saya tunggulah mereka panggil tetapi setakat ini belum lagi. Saya tak ada masalah apa pun dengan SPRM dan kalau mereka panggil, saya pergi.
"Bukan sekali ini saja, sebelum ini polis panggil, 'hat nu' panggil. Saya pergi sajalah, tak ada isu apa... Debar pun 'tadak'," katanya. - Getaran, 13 September 2023