KUALA LUMPUR – Dalam kehangatan kontroversi Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2023 melibatkan pempengaruh media sosial, Mas Zhiddin Zhiddan Abdul Azid, ada aspek lain yang sebenarnya perlu diberi perhatian.
Ya, ketaksuban segelintir rakyat yang cenderung ‘membela’ individu pilihan mereka dilihat semakin ‘menakutkan’.
Mereka tidak peduli salah atau benar, segalanya ditolak tepi asalkan pujaan hati mereka itu tampak molek berdiri megah bersama sokongan diberi.
Perkembangan ini sedikit sebanyak merunsingkan, kerana ia seolah-olah menggambarkan generasi muda tidak lagi bijak mengasing antara hak dan batil, sanggup tak emas, bungkal diasah.
Merujuk kisah Mas Zhiddin, namanya hangat lagi semalam, gara-gara mengguna pakai hasil karya dua pemidato handalan negara, untuk satu acara yang dihadirinya.
Tampil mendedahkan perkara tersebut di TikTok, Khairul Afsan yang juga jurulatih pidato kebangsaan memberitahu, prosa kata digunakan Mas Zhiddin pada acara itu adalah garapannya bersama juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2011 Kategori Nusantara, Amirrudin Abd Rahman.
@khairulafsan Ap ni sedagha ... Abis diciduknya #belia ♬ original sound Abu Ba - Khairul Afsan
“Sewaktu saya menjadi jurulatih pidato kebangsaan 2011, teks ini adalah karangan saya bersama saudara Amirrudin yang merupakan juara dunia pada waktu itu,” katanya.
Penjelasan diberikan Khairul Afsan itu disokong oleh beberapa klip video yang memaparkan Amiruddin berpidato menggunakan bait-bait kata berkenaan, sebagai bukti ia adalah karya asli mereka berdua.
Namun lain pula yang jadi, apabila beliau pula menjadi sasaran kemarahan netizen.
Warga maya yang nampaknya begitu ‘menyayangi Mas Zhiddin bingkas membela anak muda kacak itu dan menggesa Khairul Afsan berlapang dada, serta tidak memperbesarkan insiden terbabit.
Mereka malah menyifatkan lelaki berkenaan seharusnya bersyukur dan berbangga kerana Mas Zhiddin telah mempopularkan semula frasa kata tersebut.
Norizan Abdullah di akaun @KakNorIzanAbdullah misalnya berkata, Khairul seharusnya berbangga kerana karyanya diungkapkan semula oleh seorang anak muda yang berbakat.
Pendapat senada diluahkan eson6555 di akaun @eson11.
“Kebaikan seluas lautan, tapi silap setitik juga yang dipandang. Orang muda nak berkembang bukan didukung malah dibangkang,” katanya, sinis.
Kenyataan itu bagaimanapun pantas disangkal Nazrina Asraf yang menegaskan, perbuatan Mas Zhiddin boleh diibaratkan seperti mencuri.
“Pencuri kenapa perlu disanjung? Kan baik kalau diminta awal-awal pada pengarang untuk dibawa ke pertandingan,” tegurnya.
Teguran Nazrina turut menerima sokongan @anchalii yang berkata, kredit wajar diberikan kepada pemilik asal karya.
“Benda simple, kau ambil karya orang sila nyatakan kredit. Dalam apa juga benda termasuk seni, credit kepada yang asal sangat penting,” tegasnya.
Sementara itu, Mas Zhiddin pada hantaran sama memohon maaf atas kesilapannya mengguna pakai frasa kata dimaksudkan tanpa izin.
“Maaf tuan. Seikhlas hati hanya menyambut bahasa ilmu, sejujurnya tidak tahu siapa pemilik kerana ayat ni sering diguna orang sekeliling saya, maka saya sering berpesan kepada yang bertanya, saya banyak belajar peribahasa dan ayat yang ada daripada orang sekeliling.
“Sentiasa menceritakan proses alami. Saya sangat bahagia apabila dapat tahu mana datang pokok puncanya. Saya pasti akan terus ingat nama abang untuk jadikan rujukan. Terima kasih abang kerana terus mewarnakan bahasa ilmu dalam kalangan saya dan rakan-rakan,” katanya.
Jelas anak muda itu, dia juga akan memadam video persembahan terbabit dari akaunnya sebagai tanda hormat kepada Khairul Afsan.
Meskipun perkara tersebut sewajarnya dianggap selesai, tinjauan Getaran mendapat netizen masih rancak berperang di ruangan komen, malah tak kurang menyifatkan Khairul Afsan sekadar menangguk di air keruh.
Apa pun Mas Zhiddin, sakit menimpa sesal terlambat. Takkan bongkok sebab menyorok, semoga pisang tidak lagi berbuah dua kali.
Untuk netizen pula, bila bertindak tali janganlah putus, kaitan janganlah sekah. – Getaran, 17 November 2023