SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) memberi bayangan bahawa sayap pemuda PKR itu menolak pendekatan ‘khemah besar’ sebagai senjata ampuh untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pendirian angkatan itu selama ini jelas dan konsisten, selari dengan majoriti suara akar umbi, iaitu parti seharusnya tidak hanyut dengan cakap-cakap politik khemah besar.
Menurut beliau, parti sepatutnya tidak meniru sikap musuh PKR dan Pakatan Harapan (PH) dalam mengatur langkah politik sepanjang masa, demi membebaskan tengkuk daripada hukuman penjara, mahupun mencatur serta melobi untuk mengaut jawatan atau kekayaan seterusnya.
“Sehingga kini, perbincangan khemah besar berkisarkan kepada siapa nak jawatan, tokoh Melayu Mudah Lupa tak suka siapa, esok nak berkawan tapi bersyarat, lusa tak nak kawan balik, maaf cakap, ini buang masa kalau dilayan dan tiada hasil!
“Sedangkan rakyat di luar sana menjerit, memaki hamun orang politik kerana pentingkan soal jawatan dalam keadaan nasib mereka seperti tiada siapa ambil peduli,” katanya menerusi ucaptama Kongres Nasional AMK 2022 di IDCC di sini, hari ini
Akmal menegaskan, parti khususnya sayap pemuda perlu membuat pilihan tepat dan memaksimumkan kemampuan serta keupayaan PKR dan PH menjelang PRU ke-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Beliau berpandangan, sikap catur-mencatur yang sia-sia perlu dihentikan, sebaliknya menumpukan kepada isu rakyat.
“Sekiranya kita ada kehendak politik (political will) untuk ‘move on’ (bergerak ke depan), ikhtiar melalui PH perlu ditumpukan sepenuhnya membela rakyat, selain boleh menghidupkan kembali semangat pendukung parti ini, sekali gus mengembalikan penglibatan serta kerjasama akar umbi parti komponen.
“Pada masa sama, kita perlu meraikan usaha mendekati pengundi atas pagar seperti kempen ‘Ayuh Malaysia’ yang dapat mengupas idea melalui dasar dan polisi radikal ke depan, menyedarkan masyarakat mengenai potensi serta peluang diperoleh apabila PKR diberikan ruang untuk memimpin,” katanya.
Dalam pada itu, Akmal berkata, dengan kekalnya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pelantikan baharu Timbalan Presiden Rafizi Ramli, ia mampu membina keyakinan rakyat.
“Saya menzahirkan sepenuhnya sokongan buat kedua-dua tokoh ini untuk bergandingan dan menerajui PKR dalam menghadapi PRU-15. Setiap seorang daripada mereka ini mempunyai peranan besar yang mampu saling melengkapi antara satu sama lain.
“Saudara Anwar Ibrahim dikenali dan diiktiraf sebagai sosok yang melahirkan gerakan Reformasi pasca 1998, arkitek kepada gagasan reformasi. Dan dan kerana derita dan kezaliman ditanggungnya, kita peroleh perubahan landskap politik lebih baik serta bermanfaat buat rakyat kebanyakan.
“Saudara Rafizi Ramli pula berupaya dan mampu berperanan membantu parti meraih sokongan berbilang segmen serta sosok yang membawa pendekatan politik segar berasaskan formula dan data,” katanya.
Sementara itu, bagi membuktikan kemampuan AMK dalam membina keyakinan rakyat, Akmal berkata, pihaknya berjaya memposisikan angkatan berkenaan sebagai pilihan PKR untuk mengangkat potensi kepimpinan, bukan sekadar seperti sebelum ini yang hanya sinonim untuk kerja demo dan susun kerusi ceramah - Getaran - 15 Julai 2022