BAGAN DATUK - ‘Hayat’ politik penyandang Parlimen Bagan Datuk sejak lima penggal lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkemungkinan bakal berakhir berdasarkan pelbagai faktor membelenggunya sejak sepenggal lalu.
Kerusi tersebut dianggap ‘kubu kuat’ UMNO yang mendapat pelbagai manfaat sepanjang keberadaan Ahmad Zahid dalam kerajaan.
Bagaimanapun, ketika ini, terdapat ‘tangan’ dari dalam dan luar sedang bekerja keras menumbangkan Ahmad Zahid yang hanya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti sebanyak 5,072 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pada 2018, sebahagian daripada kejayaan Ahmad Zahid adalah disumbangkan kem tentera Hutan Melintang yang dianggarkan 2,000 undi menyebelahi beliau.
Kem tentera tersebut dibina ketika Ahmad Zahid menjawat jawatan Menteri Pertahanan yang mencetuskan kontroversi disebabkan lokasi pembinaannya, didakwa memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).
Di sebalik penafiannya terhadap semua dakwaan tersebut, Ahmad Zahid mengatakan bahawa pembinaan kem tentera tersebut adalah strategik, seperti kemudahan tentera di Sungai Buloh dan pangkalan tentera laut di Lumut, Perak, namun ditutup oleh Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil alih kerajaan.
Difahamkan, kem tentera Hutan Melintang adalah antara lokasi yang terbabit dalam kontroversi pertukaran tanah Kementerian Pertahanan.
Sebelum ini, PH membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung isu pertukaran tanah membabitkan 16 lokasi didakwa dilakukan ketika zaman pemerintahan BN, dengan tuduhan campur tangan politik dalam pembinaan kem tentera.
Parlimen Bagan Datuk sebelum ini merekodkan sebanyak 58,183 pengundi, tetapi kini terdapat lebih 15,000 pengundi baharu didaftarkan secara automatik menerusi Undi18.
Sentimen golongan muda dan pengundi baharu secara umumnya akan diuji pada PRU kali ini, sehingga menyebabkan kebimbangan terhadap semua parti politik.
Segmen pengundi itu juga sukar untuk ‘ditawan’ BN, apatah Ahmad Zahid kini berusia 69 tahun dan mungkin dilihat bukan pilihan menarik.
Walaupun Ahmad Zahid dianggap mendapat sokongan kuat dalam kalangan masyarakat Jawa dan minoriti Telugu di kawasan itu, ia boleh dicabar dengan penambahan pengundi muda.
Ahmad Zahid sering mengulangi fakta bahawa beliau membawa pelbagai pembangunan ke Bagan Datuk yang dilaksanakan ketika tempoh perkhidmatannya di situ, dengan terbaru membabitkan pelaburan bernilai RM4.8 bilion, sebelum dipotong kepada RM900 juta oleh pentadbiran PH.
Beberapa ahli UMNO mempertahankan Ahmad Zahid dengan menamakan kira-kira 22 projek pembangunan utama dilaksanakan pemimpin itu, sekali gus membawa masuk ribuan pekerjaan ke negeri berkenaan, sebelum PH menghentikan pembangunan terbabit.
Di sebalik dakwaan Ahmad Zahid itu, penduduk tempatan terus merungut mengenai isu asas, seperti longkang tersumbat, jalan tidak berlampu dan kutipan sampah yang boleh berlarutan hingga dua minggu.
“Terdapat cakap-cakap mengatakan beliau mahu menubuhkan kilang pemprosesan tuna, hab pembuatan kereta dan banyak lagi projek lain, tetapi jujurnya ia tidak dimaklumkan kepada penduduk tempatan di kawasan itu.
“Anak-anak kita masih perlu mencari pekerjaan di Ipoh atau Kuala Lumpur.
“Tidak dinafikan Ahmad Zahid seorang yang pemurah dan ramai menerima manfaat daripada perkhidmatannya di sini, tetapi tidak banyak berubah.
“Kami masih memperkatakan masalah asas sama, jadi apa yang boleh kami, iaitu rakyat biasa lakukan untuk menangani isu ini akhirnya?” soal seorang penduduk dari kampung kecil, Selekoh yang enggan namanya disiarkan.
Perang mulut turut tercetus antara Ahmad Zahid dan calon PKR di kerusi itu, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berhubung pembangunan kawasan berkenaan.
Bagi menewaskan lawannya, Shamsul mencadangkan penubuhan majlis perbandaran khas untuk Bagan Datuk sekiranya beliau memperoleh mandat, selain mewujudkan perancangan dan pengurusan bandar yang betul.
Pada masa ini, skop tugas kerajaan tempatan Bagan Datuk masih terletak di bawah Majlis Perbandaran Teluk Intan.
Tindakan Ahmad Zahid memecat beberapa ‘warlords’ UMNO daripada bertanding pada PRU-15 juga, menyebabkan ramai akar umbi ‘tidak selesa’ dan mempersoalkan sama ada presiden parti itu membuat keputusan strategik.
‘Warloads’ ini dilihat senada dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, malah ada antara mereka memilih bertanding sebagai calon bebas atau di bawah gabungan lain.
Sumber dalaman parti berkata, ini boleh membawa kepada ‘peperangan’ yang boleh meningkatkan usaha bersepadu untuk memburukkan karakter Ahmad Zahid.
Pada awal kempen, pihak tertentu sudah pun mendakwa Ahmad Zahid mempunyai kaitan dengan skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Ia selepas penulis blog, Raja Petra Kamaruddin melalui artikel diterbitkan di laman webnya Malaysia Today mendakwa, Ahmad Zahid memperoleh manfaat dari segi kewangan daripada projek itu.
Dakwaan penglibatan Ahmad Zahid berkaitan skandal itu juga, menjadi bualan kedai kopi dalam kalangan penduduk tempatan Bagan Datuk, menunjukkan bahawa penduduk luar bandar semakin mengambil berat berhubung isu negara atau sekurang-kurangnya, keperibadian calon mereka.
Seorang penduduk tempatan di Kampung Bagan Pasir yang enggan dikenali berkata, artikel mengenai skandal itu disebarkan terutamanya melalui kumpulan sembang.
“Kami membaca mengenai skandal ini kebanyakannya melalui pautan Facebook dan WhatsApp. Saya mendapatnya dalam kumpulan perbualan keluarga saya dan semua orang mahu mengetahui butiran lanjut,” kata penduduk itu kepada The Vibes ketika ditemui semasa ceramah PH di Kg Bagan Pasir, baru-baru ini. .
Lebih memburukkan keadaan, orang dalam UMNO juga menegaskan bahawa parti itu ‘mencatu kewangan’.
Ini terbukti di seluruh negara apabila bahan kempen BN dibayangi Perikatan Nasional (PN) dan PH.
Keadaan itu nampaknya turut berlaku di Bagan Datuk.
Sumber lain dalam parti itu berkata, peruntukan bagi setiap bahagian dipotong sebanyak dua pertiga dengan banyak operasi di lapangan terjejas akibat kekurangan dana atau pengeluaran bajet lewat.
Jelasnya, apa yang menghairankan adalah keputusan parti untuk mendesak PRU-15 diadakan walaupun berdepan kewangan ‘terhad’ . – The Vibes, 10 November 2022