KUALA LUMPUR – Walaupun menerima desakan termasuk oleh segelintir ahli parti agar melepaskan jawatan sebagai Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kekal menerima sokongan lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India.
Mewakili suara lebih 5,000 komuniti India tempatan, kumpulan terbabit tampil menyuarakan keresahan melihat UMNO dan Barisan Nasional (BN) saling berbalah walaupun pada hakikatnya berada di bawah ‘kem’ yang sama.
Bercakap kepada Getaran, jurucakap kumpulan terbabit, Saravana Kumar berkata, semua pihak termasuk dalam kalangan ahli UMNO dan wakil rakyat di bawah panji Kerajaan Perpaduan perlu menghentikan segala pertelingkahan demi mengukuhkan kestabilan negara.
Menurut beliau, kesejahteraan rakyat dan membangunkan semula negara adalah isu yang lebih memerlukan perhatian, berbanding mencari salah atau kelemahan pemimpin.
“Sudah-sudahlah berpolitik. Pilihan Raya Negeri (PRN) pun sudah tamat. Hentikanlah semua perbalahan ini kerana nanti yang akan menerima kesan ialah rakyat juga.
“Kami faham pasti timbul rasa tidak puas hati apabila parti kerajaan mencatat keputusan buruk, tapi bukankah lebih elok jika tumpuan dihalakan pula kepada meningkatkan kualiti kehidupan rakyat,” katanya.
Jelas Saravana, desakan agar Ahmad Zahid melepaskan jawatan Presiden tidak seharusnya timbul kerana kekalahan itu adalah beban bersama.
Bercanggah dengan andaian segelintir pihak, Ahmad Zahid ujarnya, adalah antara pemimpin kerajaan yang cukup agresif memperjuangkan kepentingan masyarakat India sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga kata Saravana, memperuntukkan pelbagai dana untuk membantu menyelesaikan masalah setempat dihadapi komuniti terbabit.
“Sampai bila mahu terus membuat desakan sebegini? Pihak lain sudah menyusun strategi untuk terus maju di pihak kerajaan sendiri masih dibelenggu konflik dalaman.
“Bagaimana kedudukan kerajaan mahu dikukuhkan kalau sesama parti sendiri saling bertelagah,” katanya, kesal.
Tegas beliau, pertikaian politik yang tidak berkesudahan hanya akan menyebabkan segala agenda disusun gagal direalisasikan, sekali gus membuka peluang untuk pelbagai pihak mempertikaikan keupayaan Kerajaan Perpaduan meneraju negara.
“Sekarang ini kebajikan rakyat yang perlu diutamakan. Apa yang kami khuatirkan, nasib rakyat akan terabai jika semua pihak hanya sibuk berpolitik.
“Dalam komuniti India sendiri, terlalu banyak masalah melingkari kami termasuk dari aspek pendidikan, kemiskinan, ketiadaan dokumen pengenalan diri dan kebejatan sosial,” katanya.
Saravana menarik perhatian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sebelum ini berikrar untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat India tempatan.
Anwar dan Ahmad Zahid katanya, mengakui bahawa komuniti berkenaan amat memerlukan bantuan dan perhatian secara holistik.
“Kami amat berharap semua janji ini dapat dipenuhi. Sudah banyak kali terjadi, kami hanya dipandang apabila mahu mendapatkan undi.
“Sebaik sahaja pilihan raya berakhir, kami kembali dilupakan. Jika beginilah keadaannya, bilakah masalah yang sudah membelenggu kehidupan komuniti India tempatan akan berakhir,” katanya. - Getaran, 20 Ogos 2023