web statsweb stats

Berita Terkini

8 jam yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Mohd Afiq Iqmal, Selamat Berbahagia Di Taman Syurga

Semasa Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 03 Mar 2021 11:42AM

Allahyarham Mohd Afiq Iqmal Muhammad Zaini

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Saat pertama kali mata berlabuh ke atas seraut wajah comel itu lebih 22 tahun lalu, hati terdetik sayu memikirkan bagaimana pada usia semudanya, anak berkenaan sudah diduga sebegitu hebat.

Hanya berusia 14 bulan, Mohd Afiq Iqmal Muhammad Zaini sudah lelah menahan sengsara, apabila sekeping hati miliknya rosak dek penyakit Biliary Atresia.

Natijahnya, anak sekecil itu hanya berpeluang meneruskan hidup, jika bertemu penderma sesuai untuk menjalani pembedahan pemindahan hati.

Barangkali memang sudah tertulis di laluan takdirnya, anak syurga berkenaan dikucup tuah, apabila seorang pemuda berhati mulia tampil ke depan, khusus untuk mendermakan secebis organ diperlukan.

Niat yang baik sememangnya direstui Allah SWT, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, ketika itu berusia 23 tahun disahkan doktor memiliki kesesuaian sebagai penderma, menyebabkan semua prosedur berkaitan segera diatur.

Ia membawa kepada terciptanya peristiwa bersejarah pada tanggal 3 April 1999, apabila buat pertama kali pembedahan hati yang membabitkan penderma tanpa pertalian keluarga berjaya dilakukan.

Seisi negara mengucap syukur kerana nyawa Mohd Afiq akhirnya diselamatkan, malah prosedur dilalui berakhir tanpa sebarang komplikasi.

Pembedahan yang berjalan dengan sempurna tidak membataskan hubungan persaudaraan antara Mohd Afiq dan Hafizam, malah ia bertaut mesra apabila mereka saling berhubung selepas itu.

Hafizam, yang mesra dipanggil Pak Anjang menyayangi Mohd Afiq seperti darah dagingnya sendiri, dan ikatan tersebut begitu luhur tanpa ada agenda tersembunyi.

Begitu juga Mohd Afiq, amat menghormati sosok kelahiran Kedah itu, yang disifatkannya sebagai wira kerana tampil menghulurkan bantuan, pada ketika beliau amat memerlukan.

Hafizam sendiri ketika ditemui media selepas pembedahan itu mengakui, dalam hatinya terbit rasa sayang yang bukan dibuat-buat terhadap Afiq, walaupun mereka tidak pernah saling mengenali.

Selepas 22 tahun, negara gempar lagi, tetapi kali ini keriuhan itu kerana khabar duka, yang tidak pernah disangka akan menjelma.

Ia bermula 13 Februai lalu, apabila keadaan Mohd Afiq berubah kritikal dan tidak sedarkan diri, sejurus selepas bersarapan bersama keluarga.

Memetik laporan akhbar, anak muda yang kini berusia 23 tahun itu seterusnya dirawat di wad rawatan separa rapi, Hospital Selayang, Selangor dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Bapanya, Muhammad Zaini Rahim, 50 ketika itu dipetik sebagai berkata, pasukan perubatan sedang berusaha menstabilkan keadaan anaknya, sebelum memutuskan sebarang tindakan lanjut.

Media juga melaporkan, Mohd Afiq berkemungkinan besar perlu menjalani semula prosedur pembedahan hati, susulan terdapat tanda penolakan kritikal pada organ yang diterimanya daripada Hafizam itu.

Ketika seluruh negara berdoa dan mengharapkan ihsan Yang Maha Kuasa agar Afiq diberikan kesembuhan, Allah SWT ternyata lebih menyayangi.

Perjanjian Mohd Afiq Iqmal sudah tertulis, berangkat menemui Penciptanya kira-kira jam 5 pagi semalam, selepas 18 hari menjalani rawatan di Hospital Selayang.

Pemergiannya bukan sekadar ditangisi keluarga dan Hafizam, malah jutaan rakyat Malaysia lain yang pastinya masih mengingati dengan jelas, kegembiraan serta kesyukuran dizahirkan sejurus selepas kejayaan pembedahan itu.

Lebih mengharukan, Mohd Afiq diberitakan sempat menempah 35 bungkusan hadiah sebagai tanda penghargaan ke atas semua doktor dan jururawat, yang bertungkus lumus merawatnya di wad selama ini

Mulianya hati anak muda itu, barangkali adalah penyebab mengapa beliau dipanggil begitu awal, bertepatan dengan peribahasa popular Inggeris, only the good die young.

Jenazah Mohd Afiq dibawa ke kampungnya di Tikam Batu, Kedah dan selamat dikebumikan pada jam 6 petang semalam selepas solat jenazah yang dihadiri lebih 50 jemaah, termasuk Hafizam, ahli keluarga dan sahabat handai.

Mohd Afiq kini sudah tiada, dan pemergiannya bukan sekadar membawa bersama kebahagiaan keluarga, tetapi turut ditemani sebahagian hati milik Hafizam.

Kisah mereka berdua kini kekal abadi dalam lipatan sejarah, bukti jelas bahawa pengorbanan dan jasa tidak perlu mengenal siapa, cukup jika bersandarkan kemanusiaan semata-mata.

Selamat Jalan, Mohd Afiq Iqmal.

Semoga dirimu berbahagia di taman syurga. – Getaran, 3 Mac 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 6 bulan yang lalu

5G Dapat Tingkat Keupayaan Rawatan, Mengajar Pesakit Di Hospital

2

Pendidikan 1 tahun yang lalu

'KPT Tolonglah, Mereka Mahu Lanjutkan Pelajaran Dalam Jurusan Perubatan' - Dr Nelson

3

Semasa 1 tahun yang lalu

KKM Semak Semula Keperluan Tenaga Kerja Kesihatan – Dr Zaliha

4

Luar Negara 1 tahun yang lalu

Rom: Pakar Psikiatri Maut Diserang Bekas Pesakit

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

PU Azman Dipenjara 24 Tahun, 2 Sebatan Lakukan Amang Seksual Terhadap Remaja lelaki

Semasa 17 jam yang lalu

Mangsa Banjir Kedah Meningkat, 1 PPS Baharu Dibuka

Semasa 10 jam yang lalu

Remaja Dihanyut Arus Deras Ditemukan Lemas, Ibu Masih Hilang

Politik 17 jam yang lalu

PRK Mahkota: Orang Asli Antara Yang Awal Keluar Mengundi