KUALA LUMPUR - Penetapan harga siling ayam perlu mengambil kira kepentingan keseluruhan rantaian industri tersebut, termasuk penternak dan pemborong supaya kadar dikenakan itu adil dan tidak menguntungkan sesetengah pihak sahaja.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, terdapat keperluan buat kerajaan mengkaji margin keuntungan semua pihak, termasuk pengeluar sebelum menetapkan harga syiling ayam di pasaran.
Menurut beliau, tindakan itu akan mencetuskan perasaan gerun kepada pihak yang rakus dan tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mengenakan harga tinggi sewenangnya, sehingga peniaga terpaksa menjual sumber makanan tersebut lebih mahal bagi mendapatkan keuntungan.
“Memang biasa peniaga dapat bekalan daripada pembekal dengan (harga siling) RM9.40, menyebabkan mereka terpaksa menjual daripada kadar ditetapkan, namun nanti tindakan akan diambil kepada peruncit sahaja kerana mereka yang menjualnya kepada pengguna.
“Justeru, wajar untuk kerajaan membuat penetapan harga di peringkat ladang dan pemborong agar peruncit tahu berapa jumlah sepatutnya dibekalkan kepada mereka, di samping pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sekiranya mereka mengenakan harga melebihi kadar ditetapkan kerajaan,” katanya ketika dihubungi Getaran.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tinjauan Getaran yang mendapati terdapat peniaga kedai runcit terpaksa menjual ayam sehingga mencecah RM10.70 disebabkan pemborong menjual produk itu kepada mereka pada harga RM9.40, iaitu menyamai jumlah siling ditetapkan kerajaan kepada pengguna mulai kelmarin.
Terdahulu, hasil tinjauan itu mendapati sebilangan peniaga ayam di beberapa kedai runcit di sekitar Kajang nekad enggan mendedahkan nama pemborong bekalan ketika ditanya identiti pihak berkenaan, walaupun menyedari bakal berdepan tindakan kerana menjual harga produk itu kepada pelanggan melebihi had siling ditetapkan.
Wartawan mendapati harga ayam meningkat sehingga RM1.30 sekilogram, sekali gus melebihi harga siling dimuktamadkan kerajaan, iaitu RM9.40 sekilogram.
Dalam pada itu, Mohd Yusof mencadangkan kerajaan mengkaji secara terperinci untuk menghasilkan produk makanan atau ubat milik tempatan sepenuhnya bagi digunakan untuk haiwan ternakan agar dasar sekuriti makanan negara, khususnya berteraskan ayam dapat diperkukuh.
Menurut beliau, pihaknya meyakini Malaysia mempunyai kemampuan menghasilkan produk seperti dedak dan vaksin sendiri untuk haiwan ternakan.
Usaha itu, katanya, bagi memastikan negara mampu bersedia menghadapi dan menyelesaikan krisis industri ternakan yang berkait rapat dengan jaminan keselamatan makanan.
“Bahan makanan dan ubat untuk haiwan ternakan ketika ini diimport dari luar negara yang kini dipengaruhi pelbagai faktor, seperti peperangan antara Ukraine dan Rusia, pertukaran mata wang, masalah pandemik belum berakhir serta pelbagai perkara di luar kemampuan kita.
“Faktor luar ini perlu diselesaikan kerajaan kerana ia mempengaruhi harga rantaian bekalan makanan semasa negara,” katanya.
Jelasnya, kerajaan perlu segera mencari penyelesaian di peringkat antarabangsa agar bekalan mahupun keselamatan makanan negara tidak terjejas, selain akan memberi bebanan dan kesan besar kepada rakyat sekiranya masih dipandang sepi.
“Bila faktor berlaku di peringkat antarabangsa, ia bukan sahaja beri kesan kepada Malaysia, malah seluruh dunia. Jadi, kalau punca itu masih berlarutan, harga barang makanan tidak boleh distabilkan sehingga ia mencapai suatu peringkat semua masalah itu dapat diselesaikan.
“Sebagai contoh, sebelum ini ketika harga siling ditetapkan pada RM8.90, bekalan berkurangan kerana pihak penternak kata harga ditetapkan tak dapat tampung pengeluaran mereka, namun bila ditetapkan RM9.40, bekalan ayam memang ada dan banyak.
“Jadi, perkara ini pelik sama ada ia sengaja diadakan atau wujud faktor lain, namun faktor itulah yang kita lihat kadang-kadang mempengaruhi harga dalam rantaian makanan,” katanya.
Terdahulu, Mesyuarat Jemaah Menteri mengambil keputusan tidak mengapungkan harga ayam, sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan siling runcit ayam standard pada kadar RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung mulai 1 Julai.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, jemaah menteri turut bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 0.45 sen sebiji bagi gred A, manakala Gred B (0.43 sen/biji) dan gred C (0.41 sen/biji). - Getaran, 2 Julai 2022.