PUTRAJAYA – Bekas peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Shafee Abdullah kembali menyertai pasukan pembelaan mantan Perdana Menteri itu bagi memastikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan akhir kes berkenaan.
Pada prosiding di Mahkamah Persekutuan pagi ini, peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan kepada mahkamah bahawa Shafee akan membantu pasukannya dalam kes tersebut.
Hisyam kemudian meminta mahkamah untuk menangguhkan prosiding itu selama 10 minit lagi bagi membolehkan Shafee hadir.
Bagaimanapun, permohonan itu ditolak Tengku Maimun Tuan Mat yang mengarahkan supaya perbicaraan diteruskan.
Apabila Shafee tiba, beliau memberitahu mahkamah hanya akan membantu pihak pembelaan dalam penghujahan untuk memohon Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan akhir Najib.
Shafee meminta penangguhan sehingga esok dengan berkata, beliau perlu menyediakan hujahnya mengapa ketua hakim negara tidak perlu mendengar rayuan terakhir itu.
Beliau juga mengatakan ada permohonan baharu berhubung penarikan diri itu untuk dikemukakan yang mana Tengku Maimun menegaskan bahawa Hisyam sudah mengemukakan permohonan terbabit.
“Jika kita teruskan hari ini (dan mendengar permohonan Najib) dan membuat kesimpulan hari ini, tiada sesiapa akan berada di sini (di mahkamah) esok,” kata Tengku Maimun.
Beliau juga memberitahu Shafee, dia tidak dikehendaki di mahkamah esok untuk memfailkan permohonan baharu.
Tengku Maimun menolak permohonan penangguhan itu dan mengarahkan Hisyam untuk menyambung hujahannya.
Shafee berkata, beliau mempunyai temu janji lain untuk dihadiri pada jam 2 petang dan terpaksa meninggalkan mahkamah.
Terdahulu, Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau hanya kembali untuk membantu pihak pembelaan dalam permohonan supaya Tengku Maimun menarik diri dan tidak terlibat dalam kes pendengaran rayuan akhir itu.
Shafee turut menafikan pertukaran peguam adalah bertujuan untuk menangguhkan prosiding tersebut.
“Tiada konspirasi,” kata Shafee.
Tengku Maimun memberitahu Shafee bahawa tiada keperluan bagi mahkamah mendengar perkara peribadi berkaitan dengan representasi Najib.
Sebelum permulaan perbicaraan rayuan akhir itu, Najib menamatkan perkhidmatan Shafee dan melantik Hisyam serta firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai pasukan pembelaan baharunya pada 25 Julai lalu.
Bagaimanapun pada 19 Ogos lalu, Hisyam memaklumkan kepada mahkamah bahawa Najib telah menggugurkan pasukan pembelaannya daripada firma guaman Zaid. - The Vibes, 23 Ogos 2022