web statsweb stats

Berita Terkini

8 jam yang lalu: PRK Mahkota: BN pertahan kerusi, menang dengan majoriti 20,648 undi - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,352 - SPR 1 bulan yang lalu: PRK Nenggiri: BN menang dengan majoriti 3,355 undi (TAK RASMI) 5 bulan yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 bulan yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut

IKUTI KAMI


Jawatankuasa Khas Kaji Kompetensi DUN Gubal Undang-Undang Islam Ditubuhkan

Semasa Dikemaskini 9 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 05 Dec 2023 8:01PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (tengah) menyampaikan Watikah Pelantikan kepada bekas Ketua Hakim Negara yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas, Tun Zaki Tun Azmi pada majlis penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Dengan Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam di Kompleks Islam Putrajaya hari ini. gambar BERNAMA

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

PUTRAJAYA - Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam (Jawatankuasa Khas) yang turut dianggotai 10 individu lain.

Antara yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas itu adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohd Zawawi Salleh; Anggota Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pada majlis penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Khas di sini, hari ini berkata, anggota Jawatankuasa Khas itu mempunyai kredibiliti serta kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang perundangan.

“Jawatankuasa Khas ini bertanggungjawab untuk mengkaji isu-isu yang melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri khususnya berkaitan dengan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah syariah sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Mohd Na’im berkata, kerajaan menjunjung titah Pengerusi, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, supaya satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membuat kajian mendalam dan kritikal mengenai persoalan undang-undang yang berbangkit susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi DUN dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas itu diyakini mampu mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan harmoni bagi menyelesaikan isu konflik bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah daripada berterusan.

“Ini merupakan satu daripada usaha dan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan isu konflik bidang kuasa antara Persekutuan dengan negeri dan antara mahkamah sivil dengan mahkamah syariah, demi memartabatkan dan memperkasa perundangan syariah dan sistem kehakiman syariah di negara ini,” katanya.

Mohd Na’im dalam sidang media kemudiannya berkata, Jawatankuasa Khas itu akan mengadakan libat urus dengan majlis agama Islam negeri-negeri bagi mendapatkan pandangan mereka dan syor-syor yang dibuat akan dikemukakan ke MKI dan seterusnya mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja.

"Jawatankuasa Khas ini akan melihat dan memperhalusi semua perkara melibatkan pertindihan antara mahkamah syariah dan sivil, termasuk isu melibatkan pertukaran agama, harta, tuntutan hadhanah, wasiat dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas itu akan meneliti alasan penghakiman yang dikemukakan bukan sahaja dalam kes Iki Putra Mubarak, tetapi juga kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Dalam kes Iki Putra Mubarak, media melaporkan dia yang telah didakwa di mahkamah syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor, namun disebabkan tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, dia mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) 1995, dengan mendakwa negeri atau mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang yang dibuat oleh Iki Putra terhadap Seksyen 28 EJSS 1995, sekali gus mengetepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.

Nik Elin Zurina pula dilaporkan telah memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah, selain memohon mahkamah mengisytiharkan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam sahaja. - BERNAMA

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 bulan yang lalu

Jangan Terpedaya Agensi Dakwa Mampu Keluar Visa Haji – Menteri

2

Semasa 8 bulan yang lalu

Cadangan Lantik Pakar Bukan Islam Dalam Jawatankuasa Khas Tidak Berasas - Mohd Na'im

3

Semasa 11 bulan yang lalu

50 Tan Barangan Bantuan Kemanusiaan Dihantar Ke Palestin Jumaat Ini

4

Semasa 11 bulan yang lalu

Bantuan Kepada Golongan Miskin Tegar Perlu Diselaras - Mohd Na'im

Sorotan

1

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

2

Abang Bas Didakwa Lagi, Hantar Komen Jelik Di TikTok

3

Suasana Meriah Raikan Kepulangan Atlet Paralimpik Paris 2024

4

Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

5

Indonesia Tegas Komitmen Perkukuh Hubungan Pertahanan Dengan Malaysia

6

Paris 2024: Latif Romly Diharap Sumbang Emas Ke-3 Negara

Disyorkan untuk anda

Semasa 17 jam yang lalu

Mangsa Banjir Kedah Meningkat, 1 PPS Baharu Dibuka

Semasa 9 jam yang lalu

Kepincangan Syarikat GISBH Semakin Terdedah

Semasa 9 jam yang lalu

Remaja Dihanyut Arus Deras Ditemukan Lemas, Ibu Masih Hilang

Semasa 1 hari yang lalu

PU Azman Dipenjara 24 Tahun, 2 Sebatan Lakukan Amang Seksual Terhadap Remaja lelaki