KUALA LUMPUR - Kegagalan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) hingga menyebabkan ribuan kenderaan di beberapa Plaza Tol Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) terjejas hingga berlaku kesesakan di kedua-dua hala menimbulkan kecaman hebat pelbagai pihak.
Sistem RFID yang lebih berkesan dan berkualiti untuk digunakan oleh sesebuah negara sebenarnya adalah apabila pengguna tidak perlu memperlahankan kenderaan ketika melalui plaza tol.
Perkara itu didedahkan jurutera, Fauzul Azhim di Facebook miliknya, hari ini yang berkata, perkara itu telah dibuktikan oleh beberapa negara lain, khususnya Singapura dan Australia.
#RFID kita KURANG efficient? ======================= System Tol yang lebih efficient ialah bilamana pengguna tidak...
Posted by Fauzul Azhim on Monday, January 17, 2022
“Apa beza RFID kita dengan RFID mereka? Ya, kita menggunakan Passive RFID tags, yang lebih murah, tetapi mempunyai sensing distance (jarak pengesanan) yang pendek.
“Sistem ini mungkin sesuai digunakan untuk masuk ke kawasan parkir, atau di pintu-pintu pagar kawasan perumahan,” katanya.
Sehubungan itu, Fauzul yang juga Pengurus Teknikal sebuah syarikat di Selangor menegaskan, seharusnya kerajaan meletakkan sasaran agar negara dapat mencapai kemajuan teknologi yang membolehkan tiada lagi kenderaan berhenti ketika melalui plaza tol.
“Bukan sekadar berhenti, lebih teruk jika pengguna terpaksa mengundurkan kenderaan ketika melalui palang tol di Malaysia. Untuk ini, penyelesaian Active RFID Tags adalah lebih praktikal. Apapun, satu perkara yang saya suka tentang RFID ialah ia ada link (rangkaian) kepada TnG e-wallet.
“Jadi urusan tambah nilai menjadi lebih mudah. Mungkin TnG dan PLUS boleh melihat kepada penggunaan Active RFID tags di masa akan datang. Jika tidak, kita akan menyelesaikan satu masalah dengan mencipta masalah lain,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pemuda AMANAH, Asmaaliff Abdul Adam menjelaskan, kerajaan tidak seharusnya lepas tangan terhadap kesulitan yang dihadapi rakyat sebaliknya perlu mengambil tanggungjawab penuh akan hal-hal melibatkan isu RFID.
Menurut beliau, ramai pihak telah menyuarakan ketidakpuasan hati dengan pelaksanaan transaksi tol menggunakan teknologi RFID yang bermula pada 15 Januari lalu.
“Selain isu membabitkan kelemahan kualiti pelekat RFID dan harga yang membebankan untuk sebuah kenderaan, ia turut dicemari kegagalan RFID untuk berfungsi di plaza tol sehingga menyebabkan kesesakan teruk pengguna jalan raya, seperti ditularkan di media sosial.
“Walaupun sistem RFID ini secara umumnya bagus, namun ia seharusnya dilaksanakan dengan persediaan yang cukup baik supaya dapat mengelakkan dari rakyat berdepan tempoh sukar di jalan raya,” katanya kepada Getaran, hari ini.
Kerajaan sekiranya mahu sistem ini terus dilaksanakan tegas Asmaaliff, perlu memastikan kualiti RFID dibeli oleh rakyat cukup berkualiti dengan harga yang berpatutan.
“Gantian terhadap RFID yang rosak dalam tempoh awal adalah perlu dilakukan secara percuma supaya tidak membebankan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, isu RFID turut mendapat perhatian Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa pelekat RFID dijual terlalu mahal sehingga mencecah RM35 sekeping walaupun kos sebenar hanya kurang RM1.
Pada masa sama, Najib mempersoalkan sama ada Touch N Go (TnG) atau PLUS memberi rebat bagi pemilik SmartTAG yang tidak lagi berfungsi sekiranya plaza tol beralih kepada sistem RFID sepenuhnya.
“Adakah syarikat TnG atau PLUS akan memberi rebat bagi pemilik SmarTAG yang tidak berfungsi lagi sekiranya plaza tol beralih sepenuhnya kepada sistem RFID?
“Syarikat TnG dimiliki bank CIMB, Ant Group dari China, syarikat insurans AIA Group dari Amerika Syarikat dan firma pelaburan Bow Wave Capital dari New York,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pekan itu menjelaskan, syarikat Touch N Go sudah bernilai RM3 bilion, sekali gus membolehkan CIMB memperoleh keuntungan tambahan sebanyak RM1.16 bilion pada tahun lepas akibat kenaikan nilai syarikat tersebut.
“Jadi, sebab apa masih mahu jual sticker RFID yang kosnya kurang dari seringgit pada harga RM35 sekeping? Jika tidak mahu beri percuma lagi, turunkanlah harganya ke RM5.
“Fokuslah pada perniagaan teras iaitu e-wallet saja. Bukan melalui keuntungan melampau melalui penjualan sticker. Jangan jaga kepentingan bank-bank besar sahaja sehingga membebankan Rakyat biasa.
Terdahulu, transaksi tol menggunakan tag RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya PLUS bermula 10 malam, Sabtu lalu. - Getaran, 18 Januari 2022.