ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjemput Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing untuk hadir sendiri ke Langkawi dengan memakai seluar pendek, mengikut citarasa Tiong sendiri pada bila-bila masa.
Jemputan itu dibuat susulan kenyataan Tiong di Dewan Rakyat baru-baru ini yang mendakwa, ada kalangan pelancong mengadu kepada kementeriannya mengenai dakwaan penyalah gunaan kuasa oleh pegawai kerajaan tertentu di Langkawi, yang mengganggu pelancong mengenai etika berpakaian dan pengambilan alkhohol.
Menafikan perkara itu, Muhammad Sanusi berkata, Tiong seharusnya hadir sendiri ke Langkawi bagi mengesahkan dakwaan tersebut dan bukannya hanya mendengar cakap-cakap orang lain sebelum membuat kenyataan.
"Saya pun tak tahulah, mungkin ada orang cucuk beliau agaknya sebab tak ada isu larangan pelancong pakai seluar pendek di Langkawi. Tak timbul isu tetapi tiba-tiba dibangkitkan dan saya pun hairan juga.
"Maka, saya jemputlah beliau 'mai' Langkawi berseluar pendek sebab beliau dibenarkan... Beliau bukan Islam, boleh pakai seluar pendek dan tak ada siapa nak larang pun.
"Ramai orang pakai seluar pendek di Langkawi dan kalau agamanya benarkan, pakailah. Tetapi tak bolehlah mencolok mata seperti berbogel di pantai, itu tak sesuailah dengan budaya kita," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Baru-baru ini sebuah akhbar berbahasa Inggeris memetik kenyataan melaporkan kenyataan Tiong di Dewan Rakyat yang mendakwa kementeriannya banyak menerima aduan daripada pelancong mengenai penyalah gunaan kuasa oleh pegawai kerajaan tertentu di Langkawi.
Menurut laporan itu, Tiong mendakwa beberapa pegawai kerajaan dikatakan mengganggu pelancong mengenai etika berpakain dan pengambilan alkohol.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, tindakan Tiong itu seakan menongkah arus sedangkan apa yang didakwa itu tidak berlaku.
"Apabila kementerian buat isu macam itu, saya fikir tak ada bawa faedah walau satu pun. Beliau jaga pelancongan dan apabila isu itu berbangkit, itu akan menjejaskan sektor berkenaan hingga menampakkannya seolah-olah menongkah arus.
"Saya bukan nak berkelahi dengan menteri tetapi beliau patut datang tengok sendiri. Jerkah pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu bukan kerja pelancongan sebaliknya 'mai' tengok di Langkawi ini dan kalau nak pakai seluar pendek macam mana pun terpulanglah, kalau ada saiz...," katanya.
Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak merasakan yang pelancong datang ke Langkawi semata-mata untuk meminum arak.
"Kalau pelancong 'orang putih', tempat dia dah jenuh dengan orang mabuk dan 'minum'. Mereka datang ke Langkawi nak tengaok alam sekitar, Geopark dan budaya, bukan nak minum arak.
"Jadi kenapa pula 'minum arak itu nak dijadikan masalah?" soalnya. - Getaran, 27 September 2023